KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan bakal Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu Datuk Idris Abdullah.
Hazani akan berpindah dan memegang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman berkuat kuasa 6 September depan.
Idris pula sebelum ini menjawat Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan, Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Hajiji bagi pihak kerajaan negeri merakamkan terima kasih kepada Hazani atas perkhidmatannya di Sabah.
"Kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan, terutamanya polis dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah terutamanya dalam mendepani ancaman pandemik COVID-19," katanya.