Kes Indira Gandhi bukan mengenai agama
03:02 Feb 01, 2018  |  By SabahKini2
Kes Indira Gandhi bukan mengenai agama

Isu yang timbul di sini ialah sama ada proses pengislaman anak-anak Indira Ghandi yang dilakukan oleh bekas suaminya itu adalah sah di sisi undang-undang ataupun tidak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam penukaran agama anak-anak Indira Gandhi merupakan satu keputusan yang sangat dialu-alukan. Alasan penghakiman setebal 99 muka surat yang dikeluarkan oleh mahkamah persekutuan itu sarat dengan analisa perundangan terperinci yang cukup berbaloi untuk dijadikan bahan rujukan ilmiah.

Walaupun hakikatnya alasan penghakiman yang panjang sebegini tidak patut diambil mudah, namun untuk membolehkan anda lebih memahaminya maka kami ringkaskan ia kepada tiga alasan penghakiman yang utama:-

(1) Mahkamah Tinggi boleh menyemak apa-apa tindakan yang diambil oleh Pendaftar Muallaf selaku seorang penjawat awam yang menjalankan tugasnya mengikut bidang kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 ('Enakmen Perak').

(2) Penukaran agama bagi seorang anak kepada Islam mestilah mematuhi Enakmen Perak.

(3) Kedua-dua ibu dan bapa mesti bersetuju dengan penukaran agama anak mereka kepada Islam.

Isu yang timbul di sini ialah sama ada proses pengislaman anak-anak Indira Ghandi yang dilakukan oleh bekas suaminya itu adalah sah di sisi undang-undang ataupun tidak.

Di Perak, pengislaman seorang kanak-kanak itu hendaklah mengikut peraturan-peraturan atau prosedur yang termaktub di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam seperti yang disebutkan di atas. Dengan kata lain, sekiranya proses pengislaman kanak-kanak tersebut tidak dilakukan menurut prosedur yang ditetapkan, maka keislaman itu diragui dan boleh dipersoalkan.

Kes ini sememangnya tiada kait mengait dengan agama. Sebaliknya ia hanyalah pertikaian sama ada pihak Pendaftar Muallaf selaku pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk mendaftarkan golongan Muallaf (golongan baru memeluk Islam), telah melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan mengikut Peraturan-Peraturan yang termaktub di bawah Enakmen Perak ataupun tidak.

Jawatan Pendaftar Muallaf itu sendiri wujud daripada Enakmen Perak. Ia merupakan Penjawat Awam. Sebagaimana penjawat-penjawat awam yang lain, adalah menjadi kewajipannya untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang.

Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Pendaftar Muallaf gagal mematuhi Enakmen Perak dalam hal pengislaman kanak-kanak itu. Maka, pengislaman anak-anak Indira Gandhi oleh bekas suaminya itu dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal dengan sendirinya. Hanya suatu isu perundangan semata-mata, tak lebih dan tak kurang.

Malangnya isu ini dijadikan bahan oleh pelbagai pihak yang membahaskannya di luar daripada konteks yang sebenar. Terutamanya pihak media dan juga kelompok-kelompok berkepentingan agama. Seperti biasa, media yang sentiasa cuba mencipta sebuah cerita sensasi telah memainkan isu ini secara mengelirukan dan menggambarkannya sebagai satu pertembungan antara mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah. Ekoran daripada itu, maka kelompok-kelompok berkepentingan agama pula secara melulu dan tanpa usul periksa terus sahaja menyifatkannya sebagai sebuah ancaman terhadap Islam.

Semua itu adalah tidak benar sama sekali. Tiada sangkut-paut langsung dengan persoalan untuk menentukan sama ada mahkamah sivil lebih berkuasa berbanding mahkamah syariah atau sebaliknya. Setiap mahkamah mempunyai peranan dan fungsi masing-masing yang berbeza di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah sivil berperanan mentafsir dan mengisytiharkan undang-undang. Dan antara fungsi utama mahkamah sivil adalah untuk membuat semakan kehakiman, iaitu untuk menentukan sama ada seseorang Penjawat Awam itu telah bertindak melebihi kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah undang-undang ataupun sebaliknya.

Mahkamah Syariah pula berperanan untuk memutuskan perkara-perkara berkaitan agama Islam di bawah Senarai Negeri, seperti yang diperuntukkan di bawah perundangan negeri yang berkaitan. Bukan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat suatu semakan kehakiman. Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan demikian.

Justeru, dalam kes ini, didapati Pendaftar Muallaf telah bertindak melebihi kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah Enakmen Perak. Disebabkan itulah maka ia dibicarakan oleh Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah.

Laporan oleh media juga secara tidak langsungnya telah menimbulkan ketegangan agama, dengan memberi gambaran negatif seakan-akan isu ini adalah tentang agama Islam melawan agama lain. Kemudian, kelompok-kelompok berkepentingan agama yang tidak memahami duduk perkara sebenar pula dengan senang hatinya serta-merta menari mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh pihak media.

Pada zaman yang penuh dengan fitnah dan berita palsu ini, sebagai sebuah organisasi media yang bertanggungjawab, setidak-tidaknya hentikanlah daripada memperbesarkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya disensasikan, yang berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama, seperti yang telah dilakukan mereka dalam kes ini. Lebih-lebih lagi apabila sebenarnya isu tersebut tidak langsung berkaitan dengan hal agama, sebaliknya sekadar sebuah kes berkaitan perundangan biasa.

sumber:

Herman Basuki
Stories Behind Stories

Comment