Orang tengah vaksin COVID-19, warga emas ditahan
16:09 Sep 20, 2021  |  By SabahKini2
Orang tengah vaksin COVID-19, warga emas ditahan

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan dari orang awam berhubung penipuan yang dilakukan oleh suspek.

SEMPORNA: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki menipu orang ramai dengan mendakwa menjadi orang tengah menguruskan pengambilan vaksin COVID-19, Jumaat lalu.

 Dalam kejadian jam 2.35 petang itu, suspek, 61, dikatakan cuba mengambil kesempatan mengenakan bayaran RM20 bagi setiap individu yang mahu mendapatkan vaksin COVID-19 dengan cepat.

Difahamkan, lelaki tempatan itu menyasarkan warga asing termasuk yang tidak memiliki sebarang dokumen di sekitar daerah Semporna.

Bagaimanapun, taktik suspek itu terbongkar apabila orang ramai bertindak bijak melaporkan kejadian tersebut kerana sedia maklum program vaksinasi yang disediakan Kerajaan adalah percuma.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan dari orang awam berhubung penipuan yang dilakukan oleh suspek.

“Berdasarkan maklumat awam, suspek mendakwa boleh mendapatkan jadual janji temu vaksinasi di Dewan Masyarakat Semporna dengan mengenakan bayaran RM20 bagi setiap mangsa.

“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan, polis menemui buku catatan yang tertera nama 16 individu dipercayai mangsa,” katanya semalam.

Mohd Farhan berkata, polis berjaya menahan suspek dan kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Polis turut meminta individu yang pernah menjadi mangsa penipuan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Comment