Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan populasi Sabah yang lengkap divaksinkan mencapai 59.4% pada 20 September lalu.
KOTA KINABALU: Sabah berjaya mencapai kadar 60% populasi yang lengkap menerima imunisasi COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan populasi Sabah yang lengkap divaksinkan mencapai 59.4% pada 20 September lalu.
“Bolehlah diandaikan bahawa peratusan vaksinasi populasi dewasa Sabah sudah mencapai 60% pada 21 September lalu.
“Peratusan tersebut menunjukan Sabah berada pada landasan yang baik,” katanya.
Menurutnya ramai rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia buat masa ini juga sebahagian daripada statistik penduduk Sabah.
“Misalnya, sebagai petanda, sebanyak 171,963 bakul makanan berjaya diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) rakyat Sabah yang sedang berada di Semenanjung Malaysia.
“Sebahagian besar rakyat Sabah ini sudah divaksin di Semenanjung Malaysia dan peratusan rakyat Sabah yang sudah divaksin sebenarnya lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh data semasa kita,” katanya.
Tambahnya mengikut populasi dewasa Sabah mengikut Jabatan Perangkaan adalah sebanyak 2,758,400 dan peratusan yang divaksin di Sabah sebanyak 59.9 peratus setakat 20 September 2021.
“Misalnya sebanyak 200,000 orang rakyat Sabah yang dianggar sudah mendapat vaksin di Semenanjung Malaysia, jadi kita anggarkan peratusan sebenar populasi Sabah yang divaksin adalah lebih tinggi daripada data rasmi yang direkodkan,” katanya.
Masidi berkata mengikut rekod pada 21 September adalah seramai 49,717 orang iaitu 29,809 orang adalah penduduk dewasa dan 19,908 orang adalah remaja.
“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima vaksin dos satu atau Cansino setakat 21 September adalah seramai 2,103,525 orang.
“Ini meliputi 1,959,277 penduduk dewasa bersamaan dengan 72.1 peratus jumlah penduduk dewasa, manakala bagi penerima dos lengkap adalah seramai 1,614,771 atau mewakili 59.4 peratus manakala 144,248 remaja bersamaan 33.8 peratus jumlah penduduk remaja,” katanya.