Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dalam tempoh yang sama, seramai 2,055,483 penduduk Sabah menerima dos lengkap vaksinasi.
KOTA KINABALU: Sebanyak 70.3 peratus membabitkan jumlah seramai 1,939,517 penduduk dewasa di negeri ini direkodkan lengkap dua dos vaksin setakat 11 Oktober 2021.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dalam tempoh yang sama, seramai 2,055,483 penduduk Sabah menerima dos lengkap vaksinasi.
Menurutnya, kumulatif penduduk Sabah yang menerima satu dos vaksin setakat 11 Oktober lepas adalah seramai 2,380,981 orang.
"Jumlah berkenaan membabitkan seramai 2,079,569 orang iaitu 75.4 peratus jumlah penduduk dewasa di Sabah," katanya semalam.
Beliau berkata, seramai 301,412 orang atau 70.7 peratus penduduk remaja menerima satu dos vaksin, manakala penduduk remaja yang lengkap dos vaksin adalah seramai 115,966 atau 27 peratus orang.
Masidi berkata, penduduk Sabah yang menerima vaksin pada 11 Oktober 2021 adalah seramai 41,979 orang. Daripada jumlah itu, seramai 15,003 orang adalah penduduk dewasa dan seramai 26,976 penduduk remaja.
Dalam pada itu katanya, sejumlah 32 sekatan jalan raya (SJR) dilaksana dalam tempoh 24 jam melibatkan pemeriksaan sebanyak 13,539 kenderaan dan 19 kenderaan diarah berpatah balik.
Menurutnya, sebanyak 18 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dikeluarkan di seluruh Sabah.
Beliau berkata, seramai 10 individu dikompaun akibat gagal memakai pelitup muka, dua orang tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan dan enam individu gagal mendaftar masuk premis.