Pesakit mental libas pisau di surau KKIA
17:11 Nov 04, 2021  |  By SabahKini2
Pesakit mental libas pisau di surau KKIA

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam usaha menenangkan suspek yang bertindak agresif, salah seorang anggota mengalami kecederaan di jari tangan akibat terkena pisau suspek. Pasukan polis terpaksa bertinda

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental ditahan polis selepas mengamuk dan bertindak melibas pisau ke arah orang awam yang mahu menunaikan solat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang, lelaki berusia 47 tahun itu turut mencederakan seorang anggota polis menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sampai di surau berkenaan, suspek didapati sedang memegang sebilah pisau serta berada dalam keadaan yang agresif.

"Dalam usaha menenangkan suspek yang bertindak agresif, salah seorang anggota mengalami kecederaan di jari tangan akibat terkena pisau suspek.

"Pasukan polis terpaksa bertindak pantas untuk menahan suspek bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Mohd Zaidi berkata, suspek yang turut mengalami sedikit luka calar di dagu kemudiannya dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter bersama sekeping kad orang kurang upaya (OKU) dan kad temujanji Hospital Bukit Padang.

"Suspek bertindak agresif dipercayai kerana tidak memakan ubat atas masalah mental yang dihidapinya.

"Tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku terhadap orang awam manakala anggota polis yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Medisinar, KKIA.

"Anggota polis terbabit terpaksa menerima dua jahitan di tangan namun dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Comment