Dari Labuan ke Sabah tidak perlu ujian COVID-19
14:11 Nov 10, 2021  |  By SabahKini2
Dari Labuan ke Sabah tidak perlu ujian COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkenaan mula berkuat kuasa semalam. Katanya, selain kemasukan individu dari Labuan, syarat ujian COVID-19 bagi kemasukan dari negeri lain ke

KOTA KINABALU: Selaras dengan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), individu yang memasuki Sabah dari Wilayah Persekutuan Labuan tidak perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkenaan mula berkuat kuasa semalam.

Katanya, selain kemasukan individu dari Labuan, syarat ujian COVID-19 bagi kemasukan dari negeri lain ke Sabah masih kekal.

Menurutnya, semua individu yang masuk ke Sabah dari Semenanjung, Sarawak dan luar negara sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat masih perlu menjalani ujian COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan dengan hanya keputusan negatif dibenarkan masuk.

"Bagi individu dari Sabah ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, ia tertakluk kepada ketetapan dan syarat kemasukan yang ditetapkan pihak berkuasa negeri masing-masing.

"Individu dari Sabah ke Semenanjung bagaimanapun tidak perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dari Sabah berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor awam Persekutuan adalah 100 peratus, berdasarkan jumlah pekerja yang lengkap vaksin.

Katanya, jumlah maksimum 50 orang bagi menghadiri mesyuarat dimansuhkan, namun kapasiti 50 peratus masih dikekalkan begitu juga bagi majlis sosial.

Menurutnya, aktiviti kecergasan iaitu mendaki (hiking) kekal 50 peratus kapasiti dan jumlah maksimum 30 orang dimansuhkan. Jumlah kehadiran ke stadium turut dinaikkan dari 30 peratus kepada 50 peratus.

"SOP bagi pembukaan sekolah tertakluk kepada arahan semasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Pusat jagaan kanak-kanak dan taska di bawah Pihak Berkuasa Negeri dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam dengan 50 peratus kapasiti," katanya.

Comment