Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pengecualian hanya diberikan bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.
KOTA KINABALU: Penggunaan aplikasi Mysejahtera diwajibkan di semua kawasan yang mempunyai capaian internet yang luas di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pengecualian hanya diberikan bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.
Sehubungan itu katanya, pemegang lesen dan pemilik premis diwajibkan menyediakan kemudahan kod QR MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
Menurutnya, suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius serta tidak memakai pelitup muka tidak dibenarkan memasuki premis.
"Pemilik premis hendaklah memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal satu meter selain menyediakan cecair pembasmi kuman atau tempat mencuci tangan.
"Had bilangan pengunjung adalah 50 peratus kapasiti ruang bagi pusat membeli-belah, pasar raya, pasar mini, dan kedai runcit," katanya.
Beliau berkata, peraturan berkenaan berkuat kuasa serta-merta membabitkan semua agensi penguatkuasaan.
Masidi berkata, kegagalan pematuhan peraturan terbabit boleh menyebabkan pemilik premis dikompaun.