Jimmy Wong, bekas pengerusi DAP Sabah keluar parti
17:11 Nov 24, 2021  |  By SabahKini2
Jimmy Wong, bekas pengerusi DAP Sabah keluar parti

Gara-gara selepas tiga ahli parlimen secara mengejut tewas dalam pemilihan DAP negeri baru-baru ini Jimmy tidak berpuas hati. Ini termasuk DAP menyingkir pemimpin KDM dalam parti

Bekas pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta selepas tiga ahli parlimen secara mengejut tewas dalam pemilihan DAP negeri baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Fong Hin,  ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Elopura Calvin Chong, dan bekas Senator Adrian Lasimbang tewas dalam pemilihan DAP.

Kecewa kekalahan itu Jimmy Wong mengecam kepimpinan negeri yang baru kerana bermain politik dengan pihak yang kalah daripada mengambil pendekatan inklusif membawa mereka dalam jawatankuasa parti.

Jimmy yang pernah menyandang jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri mula bersama DAP sejak 2007 dan menjadi antara ahli tertua DAP di negeri ini.

Sehubungan itu, Jimmy yang kecewa dengan keputusan pemilihan DAP peringkat negeri bertindak keluar parti dan mahu menjadi ahli politik bebas.

Sementara itu, anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong Justin Wong ketika dihubungi berharap agar semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh ayahnya itu.

Menurutnya, segala sumbangan dan perjuangan ayahnya dalam DAP Sabah tidak akan terpadam.

Justin yang mengakui terkejut dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini tetap berpegang untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP kerana ia mandat yang diberikan oleh rakyat.

Katanya, walaupun asas perjuangan parti tidak dikekalkan dalam pemilihan parti peringkat negeri, DAP Sabah akan terus mendekati penyokong bukan Cina di peringkat akar umbi.

"Kita mahu melihat DAP terus maju ke hadapan, namun dengan keputusan pemilihan peringkat negeri baru-baru ini, ia memberi petanda yang salah kepada pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM).

"Asas perjuangan parti sentiasa bersifat inklusif membabitkan semua bangsa. Bagaimanapun, barisan kepimpinan DAP negeri yang baharu seolah-olah cuba menyingkirkan pemimpin bukan berbangsa Cina dan ia bukan tindakan yang betul,” katanya.

 

 

1 Comment