Pejabat kraftangan dan kebudayaan di Kudat terbakar
14:11 Nov 29, 2021  |  By SabahKini2
Pejabat kraftangan dan kebudayaan di Kudat terbakar

Orang kampung berjaya menyelamatkan pejabat kraftangan dan kebudayaan daripada musnah dalam kebakaran, dalam kejadian jam 3.10 petang. Kebakaran berhasil dipadamkan hasil bantuan orang kampung sebelum pasukan bomba sampai ditempat kejadian.

KUDAT: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan pejabat Kraftangan dan Kebudayaan di Kampung Tongkang, daripada musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pejabat berkenaan mengalami kebakaran di bahagian dapur sebelum orang awam bertindak membantu memadam api daripada terus merebak.  

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.18 petang.

“Seramai lapan anggota dan pegawai bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam dan menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mendapati kebakaran telah padam hasil bantuan orang awam sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya.

Menurutnya, pejabat jenis kekal berkenaan hanya mengalami kemusnahan 10 peratus di bahagian dapur.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemeriksaan bagi memastikan kawasan sekitar dalam keadaan selamat.

“Operasi dapat dikawal pada jam 4.05 petang sebelum ditamatkan kira-kira 10 minit kemudiannya,” katanya.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca serta kerugian yang dialami pejabat berkenaan.

Comment