Tangan melecur demi menyelamatkan gerai terbakar
16:12 Dec 07, 2021  |  By SabahKini2
Tangan melecur demi menyelamatkan gerai terbakar

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Misran Bisara berkata, kebakaran dapat dikawal jam 2.48 pagi dan seorang lelaki melecur di kedua-dua tangan semasa menyelamatkan barangan berharga di dalam gerai berkenaan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki melecur di kedua belah tangannya semasa menyelamatkan diri dan barang-barang di sebuah gerai yang terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Misran Bisara berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 2 pagi di Jalan Nabawan- Simpang Rancangan Belia Kilan Sook Keningau.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan jam 2.08 pagi sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Kebakaran membabitkan sebuah gerai jenis tidak kekal seluas 15X30 kaki persegi dan pasukan bomba melakukan pemadaman menggunakan sumber air dari jentera,” katanya.

Menurutnya kebakaran dapat dikawal jam 2.48 pagi dan seorang lelaki melecur di kedua-dua tangan semasa menyelamatkan barangan berharga di dalam gerai berkenaan.

Katanya mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 2.58 pagi.

Sementera itu dalam kejadian berasingan sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah dalam kebakaran di Kampung Melugus Papar kira-kira jam 1.40 pagi.

Katanya operasi dilakukan sepasukan anggota serta pegawai dari BBP Papar menggunakan sumber air dari jentera bomba.

“Kebakaran dapat dikawal jam 2.06 pagi dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kes ini.

“Punca kejadian serta jumlah kerugian bagi kedua-dua kes masih dalam siasatan,” katanya.

Comment