Terhantuk baru tengadah. Projek Tebatan Banjir Selangor di sana-sini diumumkan puluhan juta malah berbilion. Sama ada kerajaan PH Selangor atau Kementerian Alam Sekitar (KASA). JPS Selangor gagal. Sungai tidak disenggara dengan baik sebabkan punca banjir
Musibah banjir di Kawasan bandar seperti Shah Alam membuka mata rakyat betapa jangan pandang enteng kepada masalah sungai dan perparitan.
Di Shah Alam dan Kuala Lumpur banjir bukan tak pernah berlaku ia biasa berlaku menenggelamkan halaman rumah namun tidaklah sampai ke paras bumbung sebagaimana yang berlaku baru-baru ini.
Tiada amaran tiada persiapan banjir tiba-tiba berlaku dengan pantas. Mangsa terpaksa berlindung beberapa jam di atas bumbung meminta tolong. Bantuan pula lewat tiba dan jika ada pun tak cukup tangan untuk membawa mangsa. Maka ada mangsa terperangkap melebihi 12 jam atas bumbung atau kawasan tinggi. Lebih menyedihkan selepas banjir surut mayat-mayat ditemui di rumah mangsa banjir. Mereka lemas dan tidak sempat diselamatkan.
Semuanya diluar jangkaan. NADMA yang biasa mengurus bencana alam di negeri-negeri banjir seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Sabah pun seakan terkejut serta tidak bersedia.
Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri yang baru balik program dari Pahang tergesa-gesa ke pusat bencana NADMA untuk mengetahui perkara sebenar. Setelah itu barulah command baru diberi kepada semua panglima tentera, Polis, pasukan bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan segera kerja-kerja menyelamat. Ratusan juta dibelanja mengurus bencana. PM sendiri juga terus turun padang ke Shah Alam.
Daerah-daerah berdekatan sungai di Selangor seperti Klang, Hulu Langat, Kuala Langat dan Shah Alam semua tahu tahap banjir teruk yang melanda. Rumah, kenderaan dan harta benda musnah seperti berlakunya bencana Tsunami.
Sudah terhantuk baru tengadah
Seperti biasa apabila banjir dan kemusnahan banyak berlaku barulah agensi atau kementerian mula bertindak.
Barulah memikirkan kesan melepaskan air empangan yang menyebabkan banjir besar, penggunaan teknologi dron, satelit dan segala sistem yang sepatutnya kerajaan miliki. Ibarat jika Covid-19 datang maka sibuklah kita mahu mencipta vaksin sedangkan kita mempunyai masa panjang sebelum semuanya berlaku.
Apa yang dilakukan oleh YB Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air dari PAS itu? Empangan, loji air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi dan Jabatan Alam Sekitar semua bawa Kementerian Alam Sekitar dan Air?
Pelepasan air Empangan Klang Gate di Hulu Klang apabila melepasi tahap bahaya sebahagian dari punca banjir besar di Selangor. Apabila empangan penuh biasa pelepasan sehingga 25 peratus secara berperingkat dilakukan.
Dalam masa sama sungai dan parit yang diselia oleh Jabatan Pengairan Saliran sebenarnya banyak tidak disenggara dengan baik yang juga punca sebahagian banjir besar.
Apabila lebai PAS yang tak pakar jaga alam sekitar dan pengairan saliran inilah jadinya!
Belanja projek tebatan banjir memakan belanja ratusan malah jika dikumpulkan berbilion ringgit setahun tetapi banjir tetap berlaku malah lebih teruk mengapa? Konsesi atau kontraktor melakukan projek tebatan atau mendalamkan sungai nampaknya gagal.
Mana projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 1 RM 41 juta yang dimumumkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA)? Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan itu mampu mengatasi risiko banjir di kawasan Dengkil dan daerah Sepang, yang memberi manfaat kepada 50,000 penduduk di kawasan berkenaan. Sekarang apa jadi?
Mana dron berjuta yang digunakan oleh Jabatan Pengairan, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor atau Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau senggaraan sungai di negara ini? Paling tidak di Selangor sudah boleh meramal ancaman jika sungai menerima air lebih banyak.
Bagi kerajaan PH Selangor, mana dana rezab Selangor lebih RM3B setahun itu? Bukankah baik buat projek tebatan banjir segera tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat semata. Duit banyak belanjalah. Apabila ada projek besar-besar Kerajaan PH Selangor berbangga mengumumkannya. Projek Tebatan Banjir 100 Tahun Selangorlah, Projek Tebatan Banjir lembangan Sungai Langat, lembangan Sungai Klang dan lembangan Sungai Selangor bagai. Mana semua tu? Mana semua Pegawai-pegawai Daerah Selangor yang sepatutnya bertindak awal?
Namun bila bencana melanda Kerajaan PH salahkan Kerajaan Pusat lambat membantu. Wal hal Pegawai Daerahlah penyelaras utama urusetia banjir di daerah masing-masing tanpa perlu menunggu NADMA atau pusat boleh menyelaras awal bencana banjir daerah. ‘Bagai pahat dengan pemukul’ ketuk dulu baru bekerja. PBT bawah kuasa negeri sepatutnya mereka boleh bergerak lebih awal sedaya mampu.
Susulan banjir itu netizen juga mempersoalkan di mana menteri berkaitan bencana tidak segera datang turun padang melainkan PM Ismail Sabri dan juga DYMM Yang Dipertuan Agong. Menteri Kanan Pertahanan sehingga sekarang belum turun padang hanya mampu mengemaskini status dalam media sosial. Menteri NADMA pula berkata agensi bencana itu tidak mengurus bencana tetapi hanya membayar pampasan. Apa jadi pada NADMA ini? Kini NADMA dan ATM saling tuduh menuduh selepas rakya tidam berpuas hati dengan NADMA.
Yang pasti NADMA gagal mengawal atau menyelaras masalah banjir di Selangor.
Belajar dari urusan bencana di neger-negeri kerap banjir
Apa yang berlaku di Selangor sudah dirasai di negeri-negeri lain yang kerap banjir. Apa orang Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Sabah tak merasa marah atau sedih tentang banjir yang kerap berlaku?
Mereka juga bosan saban bulan dan tahun berhadapan banjir. Kerugian bukan sedikit. Buat rumah, beli barang bila banjir rosak. Jika di luar bandar seperti Sabah misalnya banjir memeritkan. Bila naik sungai sahaja rumah akan rosak. Begitulah rutin. Akhirnya rakyat miskin terus miskin dengan rumah yang sedia ada dipulihkan. Mereka tidak takut dengan sungai yang sebahagian dari hidup mereka. Kerajaan bertukar ganti tetapi masalah banjir tidak pernah selesai.
Oleh itu orang Selangor di bandar yang dilanda banjir jangan mengeluh dan menyalahkan semua pihak. Buat video maki-maki penjawat awam dan kerajaan yang tak dapat membantu segera urusan bencana. Orang Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah sudah merasa derita itu. Tidak ada yang lupa krisis banjir di pantai Timur Semenanjung (Kelantan) semasa banjir besar pada tahun 2014. Semuapun derita dengan segala bantuan diberi bukan saja kerajaan tetapi NGO dan orang ramai. Hanya kini giliran Selangor! Dan kini giliran semua pihak menolong Selangor
Bayangkan lebih 60 kawasan banjir di Sabah setiap kali selepas hujan tak kira di bandar atau di luar bandar. ‘Ala bisa tegal biasa’. Apa mereka tidak punya perasan marah kepada kerajaan? Ia tidak semudah pengkritik berbanding yang bekerja di lapangan membantu. Maka bantu selagi terdaya dengan cara masing-masing. Namapun musibah.
Rutin biasa di Penampang dan Beaufort Sabah...Banjir besar banjir kecil semua sentiasa berulang
Banjir ibarat pesta negeri-negeri banjir
Apabila banjir satu kebiasaan tidak keterlaluan dikatakan di negeri-negeri banjir tak kira siapa mereka amat tenang dalam mengharungi bencana di kawasan itu. Penduduk sudah lalikejadian banjir.
“Banjir ini umpama pesta buat kami. Setiap tahun kami lalui dengan tenang dan ini bukan satu masalah besar,” itu kata mereka.
Bot dan sampan pengangkutan utama wajib disimpan oleh penduduk. Kalau ada tiga buah kereta pun tidak berguna sekiranya tiada sebuah bot. Rumah dibina dengan struktur yang tinggi jika mereka enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir disediakan melainkan jika bencana banjir itu diparas bahaya. Setiap kali hujan penduduk sudah berjaga-jaga dengan banjir atau gelombang seterusnya.
Apa yang rakyat bandar perlu terima hakikat sekarang?
Mereka tidak lagi selamat seperti dulu. Mereka perlu bersiap sedia menghadapi rutin banjir jika musim tengkujuh berlaku. Malah bersedia memiliki satu bot jika banjir berlaku lagi.
Mereka tidak lagi boleh mendabik dada hidup mewah di bandar. Paling penting beringatlah apa yang berlaku hari ini adalah sikap manusia terhadap alam sekitar. Ini amaran Tuhan buat kita semua. Pasti ada hikmahnya.
Menteri Lebai PAS yang menjaga Kementerian Alam Sekitar dan air (KASA) pula jangan hanya berkata semua takdir tapi berusaha menyelesaikan projek tebatan banjir yang menyelamatkan nyawa rakyat.
Kepada Ahli Parlimen atau ADUN PH yang menghilang dan bermain salji ketika kawasan menerima bencana banjir pulanglah. Ada kawasan seperti Hulu Langat musnah seperti dilanda tsunami. Baliklah rakyat sedang derita.