BEAUFORT: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis Jaffar Salleh berkata, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak cedera parah setelah kenderaan dinaiki terbabas sendiri di bahu jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Brunei Membakut, Jalan Bandau Kuala Penyu, kelmarin.
Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira jam 9.27 malam dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang berada pada jarak 20 kilometer dari balai.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati terdapat tiga mangsa terlibat dan sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Semua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun dihantar ke Hospital Beaufort menggunakan ambulans sebelum ketibaan EMRS. Operasi ditamatkan pada jam 10.51 malam.