Siasatan isu integriti dan salah guna kuasa lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dipinjamkan ke MARA Corp dijangka siap dalam minggu ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim memberitahu, hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya kemungkinan besar pada minggu hadapan, untuk tindakan susulan.
Katanya, siasatan masih berjalan dengan sekurang-kurangnya 14 saksi lagi termasuk Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MARA Corporation (MARA Corp), pengurusan MARA dan pegawai bank akan dipanggil bermula Isnin.
"Lima pegawai kanan (MARA) telah direkodkan keterangan dan selesai awal pagi semalam. Jadi buat masa ini, pegawai-pegawai kami sedang meneliti semula penjelasan yang diberikan mereka.
"Kita juga akan kaji keterangan saksi-saksi yang lain, kemungkinan kita akan memanggil semula saksi-saksi semula jika perlu sebagai penjelasan kepada dokumen-dokumen yang dikemukakan," katanya
Media melaporkan, lima pegawai kanan Mara telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa pada Jumaat.
Setakat ini, SPRM sudah memanggil 14 saksi meliputi Lembaga Pengarah MARA Corporation (MARA Corp), kakitangan dari pengurusan MARA Corp, pegawai MARA, syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat (CoSec) kepada agensi itu.
SPRM sebelum ini menyerbu dua kali pejabat MARA dan MARA Corp bagi membantu siasatan.