Pemimpin pembangkang KDM perlekeh UPKO ibarat perlekeh diri sendiri- Tangau
16:02 Feb 11, 2018  |  By SabahKini2
Pemimpin pembangkang KDM perlekeh UPKO ibarat perlekeh diri sendiri- Tangau

UPKO telah menjadi satu perlambangan mewakili komuniti Kadazandusun buat sekian lama

PENAMPANG: UPKO merupakan sebuah organisasi yang selama ini telah menjadi suatu bentuk perlambangan kepada masyarakat Kadazandusun itu sendiri. Oleh itu, tindakan memperlekeh parti ini juga boleh dianggap sebagai memperkecil-kecilkan komuniti besar Kadazandusun di negeri ini.

Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengingatkan para pengkritik bahawasanya Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) adalah sebuah parti yang mewakili dan juga berjuang untuk Kadazandusun Murut.

Mojuntin (kanan) menyerahkan borang permohonan ahli baru dari cawangan Upko Kampung Dimbata kepada Tangau

"Saya sedar bahawa terdapat sesetengah ahli Parlimen parti pembangkang dari komuniti KDM yang menyeru supaya UPKO ini dibubarkan sahaja. Seruan itu diulang semula ketika partinya datang ke Tuaran baru-baru ini.

"Namun, ingin saya mengingatkan MP tersebut bahawa UPKO ini telah menjadi satu perlambangan mewakili komuniti Kadazandusun buat sekian lama. Maka, sekiranya anda cuba memperlekeh UPKO, bermakna anda memperlekeh diri sendiri," katanya.

Bercakap dalam pelancaran cawangan UPKO Kampung Dimbata di sini Sabtu, beliau menyatakan bahawa sejak ditubuhkan, UPKO terus kekal dengan prinsip dan matlamat perjuangan asalnya, iaitu memperjuang hak serta membangunkan komuniti Kadazandusun di negara ini.

Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran itu menambah yang beliau juga menyedari akan wujudnya suara-suara yang meragui kekuatan UPKO di kawasan-kawasan di mana parti itu bertanding.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau bersetuju dengan kenyataan oleh Ketua UPKO Penampang, Datuk Donald Mojuntin yang mengatakan bahawa setiap parti komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai merit masing-masing yang tersendiri, namun pada akhirnya semua pihak harus menghormati apa jua keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional nanti.

"Kedua, sebagai salah satu parti komponen BN, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu calon BN dari segala aspek demi memastikan kemenangan di pihak kita tanpa mengira calon itu dari parti komponen yang mana," ujarnya lagi.

Sementara itu, Tangau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia melahirkan perasaan gembira dengan penubuhan cawangan UPKO Kampung Dimbata yang terletak di bawah UPKO bahagian Moyog.

Pada masa yang sama, Tangau menerima sebanyak 74 permohonan keahlian yang baru daripada Datuk Donald Mojuntin yang kini dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Bahagian itu.

Antara yang diterima adalah permohonan keahlian daripada Datuk Albert Boyou, yang menurut Tangau, merupakan penyokong setia kepada UPKO sejak sekian lama namun tidak pernah menjadi ahli.

"Saya sangat gembira malam ini kerana akhirnya dia memutuskan untuk menjadi ahli parti ini secara rasminya," katanya, sambil menambah bahawa beliau cukup yakin bahawa UPKO Cawangan Kampung Dimbata yang baru ditubuhkan ini akan bersama-sama membantu jentera pilihan raya BN terutamanya di Moyog, dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Barisan ahli jawatankuasa UPKO Cawangan Kampung Dimbata; Datuk Donald Mojuntin (pengerusi), Charles Boyou (timbalan pengerusi), Mariati Suarah (Setiausaha), Datuk Albert Boyou (bendahari), Simon Boyou (ketua pemuda), Anella Juani (ketua wanita) dan Boniface Jonathan (ketua Komulakan). Penasihat bagi cawangan ini adalah Anthony Kiob.

1 Comment