Warisan bertanding di DUN Permas pada PRN Johor
15:02 Feb 19, 2022  |  By SabahKini2
Warisan bertanding di DUN Permas pada PRN Johor

Parti Warisan akan bertanding di DUN Permas pada PRN Johor namun Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum mengumumkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan.

JOHOR BAHRU: Parti Warisan pada Khamis mengesahkan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini. 

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun belum mengumumkan nama calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan.  

“Ya, ini adalah kawasan yang akan (ditandingi), sebab tu saya datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah di sini pada Khamis. 

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sama ada DUN Permas antara kawasan yang bakal ditandingi parti itu di PRN berkenaan. 

Menurutnya beliau turun ke kawasan itu untuk berjumpa dengan Ketua Koordinator Warisan Johor bagi berbincang persediaannya berdepan dengan PRN Johor. 

Sementara itu Mohd Shafie berkata beliau akan mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding pada PRN itu dalam masa terdekat dengan sebahagian besarnya calon muka baharu tempatan.

3 Comments