PPM gagalkan cubaan tujuh warga asing masuk secara haram
15:02 Feb 23, 2022  |  By SabahKini2
PPM gagalkan cubaan tujuh warga asing masuk secara haram

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai tiga lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak di dalam kedua-dua bot berkenaan. Kesemua warga asing terbabit mengaku baru ti

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) mengusir keluar tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk secara haram ke daerah ini di perairan Pulau Siamil, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pasukannya mengesan dua bot memasuki perairan negara dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan PPM bertindak mengejar dan memintas bot berkenaan untuk membuat pemeriksaan dokumentasi serta barang yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai tiga lelaki, seorang wanita dan tiga kanak-kanak di dalam kedua-dua bot berkenaan. Kesemua warga asing terbabit mengaku baru tiba dari negara jiran dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya semalam.

Menurutnya, anggota PPM memberi amaran kepada semua warga asing berkenaan agar tidak cuba memasuki perairan negara secara haram sebelum mengusir keluar sehingga ke sempadan negara.

“Tindakan usir keluar itu selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Comment