Sabah merekodkan 6 kematian akibat COVID-19
15:03 Mar 02, 2022  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 6 kematian akibat COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, seramai 5,294 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negeri ini sebanyak 293,629 orang

KOTA KINABALU: Sebanyak enam kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam melibatkan daerah Kota Marudu, Tawau, Penampang, Beluran, Lahad Datu, dan Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, seramai 5,294 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negeri ini sebanyak 293,629 orang.

Katanya, setakat semalam, seramai 1,674 pesakit masih menerima rawatan iaitu 1,069 orang di hospital, 590 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 14 orang di pusat tahanan sementara (PTS) atau penjara dan satu kes di fasiliti swasta.

"Sebanyak empat kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Sabah.

"Ia melibatkan kesalahan individu gagal memakai pelitup muka," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut negeri ini oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melibatkan 182 pemeriksaan di kawasan pantai timur dan 42 pemeriksaan di perairan daerah ini dan Labuan.

Hasil pemeriksaan tiada tangkapan dibuat, manakala sebanyak 1,052 premis perniagaan diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

"Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut menjalankan Operasi Pematuhan SOP ke atas 632 premis perniagaan dan 1, 117 individu membabitkan 18 kawasan.

"Empat kompaun dikenakan ke atas individu dengan kesalahan individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran di Kepayan," jelasnya.

Comment