PPM gagalkan cubaan 6 PTI masuk secara haram
16:03 Mar 03, 2022  |  By SabahKini2
PPM gagalkan cubaan 6 PTI masuk secara haram

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan, juragan bot adalah warga tempatan, manakala enam penumpangnya terdiri dua lelaki empat wanita berumur 25 hingga 40 tahun tidak mempunyai sebar

TAWAU: Cubaan enam pendatang tanpa izin (PTI) masuk secara haram ke daerah ini gagal selepas dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Aji Kuning, Pulau Sebatik, semalam.

Dalam kejadian jam 3.25 petang itu, anggota PPM yang menjalankan tugas di perairan tersebut mengesan pergerakan bot yang dinaiki oleh kesemua PTI terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pasukannya bertindak menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, anggota PPM mendapati tujuh individu termasuk juragan di dalam bot berkenaan dan dipercayai bergerak dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan, juragan bot adalah warga tempatan, manakala enam penumpangnya terdiri dua lelaki empat wanita berumur 25 hingga 40 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Juragan dan kesemua PTI berkenaan diberikan penerangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sebelum diiring keluar dari perairan negara,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan sekarang adalah memberi fokus kepada pendekatan mengusir keluar berbanding tangkapan sebelum ini.

“Ia selaras dengan perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 supaya tidak berlaku penularan wabak yang dibawa masuk oleh warga asing ke negara ini.

“Pendekatan itu juga sebagai langkah pencegahan awal agar tiada kemasukan warga asing melalui perairan laut Tawau,” katanya.

Comment