Buka semula sempadan negara, Sabah dapat manfaat besar
15:03 Mar 09, 2022  |  By SabahKini2
Buka semula sempadan negara, Sabah dapat manfaat besar

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Sabah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan langkah itu akan membantu ekonomi negeri ini.

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini akan memberi manfaat besar kepada Sabah.

Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, sejak penutupan sempadan antarabangsa kira-kira dua tahun lalu, ekonomi Sabah terjejas teruk kerana pelancongan adalah antara sumber pendapatan utama negeri.

Katanya, Sabah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan langkah itu akan membantu ekonomi negeri ini.

Bagaimanapun jelasnya, Sabah akan menunggu pengumuman terperinci supaya ia dapat diselaraskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menepati keadaan dan keperluan negeri.

"Menerusi penglibatan saya dengan beberapa pemain industri pelancongan, isu berkait dengan pembukaan semula sempadan sentiasa menjadi desakan pihak berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Hajiji mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk K L Tan yang merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam satu pengumuman khas semalam berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah boleh masuk dan keluar negara seperti sebelum pandemik.

Katanya, pengembara yang mendapat vaksin lengkap tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.

Ismail berkata, keputusan untuk membuka semula sempadan negara dibuat berdasarkan sains dan fakta terkini mengenai COVID-19, dengan menyatakan negara lain juga mula membuka sempadan negara mereka.

Sempadan negara ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

Comment