Rumah guru terbakar, seorang wanita melecur
14:03 Mar 21, 2022  |  By SabahKini2
Rumah guru terbakar, seorang wanita melecur

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam. Beliau mengesahkan seorang mangsa wanita cedera akibat melecur dihantar ke hospital oleh orang awam.

BEAUFORT: Seorang wanita cedera akibat melecur pada belakang dalam kebakaran di rumah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam menyebabkan mangsa, 59, terpaksa dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam, sebelum sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berukuran 18.5m persegi yang musnah terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 60m dengan dua pancutan menggunakan sumber air kolam berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Beliau mengesahkan seorang mangsa wanita cedera akibat melecur dihantar ke hospital oleh orang awam, dengan api berjaya dikawal jam 11.25 malam.

“Pihak forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian,” katanya. 

Comment