Isu tuntutan Sabah tidak perlu dipolitikkan
15:03 Mar 24, 2022  |  By SabahKini2
Isu tuntutan Sabah tidak perlu dipolitikkan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, isu tuntutan tersebut sudah diperjelaskan dan yakin semua wakil rakyat di Sabah serta rakyat negeri ini bersama-sama tidak mengiktiraf tuntutan terbabit

KOTA KINABALU: Isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah tidak perlu dipolitikkan memandangkan kerajaan negeri dan rakyat Sabah tetap dan jelas dengan pendirian tidak mengiktiraf tuntutan pihak berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, terpulang kepada kerajaan Persekutuan dan Wisma Putra untuk mencari penyelesaian secara tuntas berhubung perkara itu.

Namun katanya, isu terbabit sudah diperjelaskan dan yakin semua wakil rakyat di Sabah serta rakyat negeri ini bersama-sama tidak mengiktiraf tuntutan terbabit.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dan menjawab soalan Assaffal P. Alian (WARISAN-Tungku) mengenai penyelesaian secara tuntas berhubung tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) turut mencadangkan agar satu usul tergempar berhubung isu tuntutan berkenaan dibawa ke mesyuarat DUN.

Hajiji berkata, sama ada ia akan dibawa dalam Mesyuarat DUN akan datang, cadangan itu akan dilihat jika diperlukan.

"Tetapi saya nampak jelas tanpa prejudis semua di sini dan rakyat juga ambil pendirian tegas bahawa kita tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan ke atas Sabah," katanya.

Menurutnya, rakyat negeri ini membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia berdaulat yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  

Dalam pada itu beliau berkata, isu keselamatan sentiasa menjadi agenda utama di Sabah.

"Apabila saya dibenarkan melawat daerah di Sabah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertama saya lawat pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Lahad Datu.

"Bagi saya, apa pun yang kita buat di negeri ini, paling utama adalah keselamatan kerana apabila saya dibenar melawat jumpa rakyat, jadual pertama saya pergi ke pantai timur dan melawat pasukan keselamatan di Lahad Datu," katanya.

Comment