Tahun 2019, PNB menambah pelaburan sebanyak RM2.68 billion dalam Sapura Energy yang menjadikan PNB sebagai pemegang saham terbesar dengan kepentingan 40% yang ketika itu Sapura Energy mencatatkan kerugian atas kertas yang amat besar.
By Megat Hisemudin Megat Kasim
Sapura Energy Bhd (SAPNRG – 5218) merupakan salah satu kaunter yang sangat aktif di Bursa Malaysia di mana saya pernah mengaut sedikit keuntungan tetapi akhinya rugi sekitar RM6k di tahun 2020. Sebagai pelabur di Bursa Malaysia, mendapat keuntungan dan kerugian adalah lumrah dan perlu diterima dengan hati yang lapang.
Kini Sapura Energy berdepan dengan masalah kritikal apabila kerugian bersih luar biasa RM8.9 billion bagi tahun kewangan berakhir 31hb Januari 2022 (FY22) berbanding kerugian bersih RM160.87 juta tahun sebelumnya.
Ini menjadikannya berdepan dengan tekanan untuk mendapatkan kecairan apabila paras hutang tertungak terlampau tinggi dan menyukarkannya lagi untuk mendapat kemudahan kredit bagi penyelesaian terhadap pemiutang dan modal kerja.
Sebelum ini dalam permohonan cadangan skim pengaturan (SOA) dan Perintah Penyekatan daripada Mahkamah Tinggi, Sapura Energy perlu memuktamadkan dan melaksanakan SOA bagi mencari pembiayaan sumber baru.
Kegagalan Sapura Energy terhadap pelaksaan SOA yang memungkinkannya diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).
Kita tertanya-tanya di mana silapnya Sapura Energy yang suatu ketika pernah menjadi syarikat gas & minyak terbesar di Asia malah di peringkat dunia.
Sapura Group of Companies bermula dengan sebuah syarikat kecil dengan 6 orang staff yang diasaskan oleh Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin di tahun 1975. Nama Sapura diambil sempena nama isterinya, Siti Sapura.
Pada awalnya syarikat ini terlibat dalam sektor telekomunikasi dengan membeli Uniphone Works daripada United Motor Works (kini UMW Holdings). Rasanya suatu ketika dahulu kita pernah memegang gagang telefon yang tertera SAPURA.
Di tahun 1980an, Sapura membeli Malayan Cable Berhad untuk mengukuhkan penguasaan dalam bidang industri telekomunikasi. Seterusnya Sapura bergerak dalam beberapa bidang industri dan perkhidmatan yang lain.
Sapura Group of Companies diketuai oleh Tan Sri Dato’ Seri Shahril Shamsuddin yang sebelum ini juga merupakan CEO Sapura Energy.
Kelahiran Sapura Energy adalah hasil percantuman antara Kencana Petroleum Bhd milik Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir dengan SapuraCrest Petroleum Bhd yang membentuk SapuraKencara Petroleum Bhd (SapKen) di tahun 2012 dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia di bulan Mei, 2012.
Namun demikian, hanya 4 bulan sebelum kejatuhan harga minyak mentah dunia di tahun 2014 Mokhzani melalui syarikat pegangannya, Khasera Baru Ltd. telah menjual 190.3 juta saham dalam Sapken yang mana beliau telah memperolehi RM820 juta. Sebenarnya mereka yang berada dalam industri gas dan minyak telah terlebih awal mencium perubahan ini.
Mokhzani kemudiannya meletakkan jawatan dalam lembaga pengarah di tahun 2015 tetapi masih mengekalkan sebahagian sahamnya dalam SapKen. Dalam bulan Mac tahun 2017, SapuraKencana Petroleum Bhd telah menukar namanya kepada Sapura Energy Berhad. Di akhir tahun 2017, Mukhzani telah menawarkan untuk menjual 605 juta sahamnya yang bersamaan 10.1% dalam Sapura Energy.
Pada ketika itu saham Sapura Energy dipegang oleh dua individu melalui Sapura Holdings Sdn Bhd iaitu CEO, Tan Sri Shahril Shamsuddin dan abangnya Datuk Shahriman Shamsuddin yang menguasai 16%. Selainnya saham majoriti dipegang oleh EPF, PNB dan KWAP.
Antara pertengahan tahun 2014 hingga awal tahun 2016 ekonomi dunia mengalami salah satu penururan harga minyak yang drastik dalam sejarah moden. Pertama kali selepas Perang Dunia II dan yang kali kedua ialah di tahun 1986.
Secara sedar atau tidak, penjualan saham Mokhzani 4 bulan sebelum kejatuhan harga minyak dunia di tahun 2014 dan penjualan saham kedua di tahun 2017 telah memberi impak yang tidak kurang besarnya dalam syarikat.
Dalam tahun 2019, PNB menambah pelaburan sebanyak RM2.68 billion dalam Sapura Energy yang menjadikan PNB sebagai pemegang saham terbesar dengan kepentingan 40% yang ketika itu Sapura Energy mencatatkan kerugian atas kertas yang amat besar.
Zeti Pengerusi PNB
Namun demikian apabila Sapura Energy mahu memohon pinjaman modal kerja sebanyak RM2 billion dari bank-bank tempatan apabila harga minyak mulai meningkat, permohonan Sapura Energy ditolak dan pihak kerajaan juga tidak berminat untuk membantu. Dengan ini menambah masalah aliran tunai Sapura Energy.
Selama dua tahun ini seluruh dunia menghadapi pandemik Covid-19 di mana kerja-kerja dalam kontrak tidak dapat diserahkan mengikut jadual dan aliran tunai yang begitu ketat menambah sengsara bagi Sapura Energy.
Ramai yang mempertikaikan bekas CEO Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin dibayar gaji dan bonus sejumlah RM71.92 juta di tahun 2018 walaupun syarikat mengalami kerugian. Menurut CEO Sapura Energy sekarang, Datuk Anuar Taib bahawa jumlah itu dipersetujui oleh lembaga pengarah.
Ini berdasarkan Tan Sri Shahril Shamsuddin dan abangnya Datuk Shahriman Shamsuddin memiliki 12.64% kepentingan melalui syarikat persendirian, Brothers Capital Sdn Bhd. Ia juga sebagai penghargaan kepada beliau di atas keusahawanannya membina syarikat sehingga dilihat hari ini dan faedah yang didapati oleh 10,000 pekerja yang berada di bawah Sapura Energy Bhd.
Ia juga disebabkan beliau tidak dibenarkan untuk menjual sahamnya dan mengurangkan sahamnya di bawah 10%, atau berhenti sebagai CEO. Jika diikutkan beliau boleh saja menjual sahamnya ketika harga tertingga RM4.84 sesaham pada penghujung tahun 2013 untuk mendapat keuntungan besar namun tidak dilakukannya. Berbanding ketika hari ini saham Sapura Energy menjunam 3.5 sen sahaja namun tiada siapa yang bersimpati dengannya.
Sapura Energy adalah sebuah syarikat multinasional yang pernah beroperasi di Mexico, Brazil, Venezuela, Angola, Equatorial Guinea, Saudi Arabia, UAE, Turki, India, China, Australia, Jepun, Vietnam dan Russia.
Dalam pertengahan tahun 2014 apabila harga minyak mentah melambung ke US$110 setong, Sapura Energy mempunyai tempahan buku yang melebihi RM30 billion berbanding hanya RM7.5 billion saja sekarang. Di akhir tahun 2015 harga minyak telah jatuh ke US$40 setong.
Ini menyebabkan Petronas memfokuskan untuk kerja-kerja pembangunan penapisan dan petrokimia di Pengerang. Ia tidak lagi membelanjakan untuk kerja-kerja pencarian di lokasi baru. Secara tidak langsung Sapura Energy yang sering mendapat kotrak Petronas tidak lagi mendapat kerja baru.
Namun yang merunsingkan ialah setelah pengambilalihan pelantar Seadrill Ltd di tahun 2013 dengan kos US$2.9 billion dan membeli aset Newfield Exploration Co’s Malaysia dengan harga US$895.9 juta yang mana Sapura Energy membuat pinjaman yang besar.
Dalam tahun 2018, Sapura Energy terpaksa menjual 50% kepentingan dalam SES Upstream Sdn Bhd (aset Newfield’s Malaysia) kepada OMV Exploration & Production GmbH dengan harga US$540 juta. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pinjamannya.
Selain daripada pelupusan aset yang ada, Sapura Energy masih memerlukan modal kerja yang besar untuk terus beroperasi. Oleh itu cadangan pengambilalihan kepentingan PNB dlm Sapura Energy oleh Petronas dirasakan lebih logik kerana Petronas memerlukan juga kepakaran Sapura Energy.
Jika ia terjadi akan memberi keyakinan kepada Sapura Energy untuk terus membida projek-projek dalam dan luar negara. Begitu juga para pelabur akan lebih yakin dan saham Sapura Energy akan beransur-ansur naik kembali.
Pihak bank-bank juga akan kembali memberi pinjaman kepada Sapura Energy atau kerajaan memberikan bantuan dalam bentuk sokongan atau jaminan. Bermakna kerajaan tidak perlupun mengeluarkan wang dari perbendaharaan untuk tujuan tersebut.
Nota:
[ARTIKEL BERKAITAN- SAPURA Bakal Muflis ]