‘Penantian satu penyeksaan’ begitulah yang berlaku kepada Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM) yang berharap akan diterima menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum pilihan raya umum akan datang.
Menurut Peter Anthony setakat ini mereka tidak menerima sebarang perkembangan sejak mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai GRS pada 13 Mac.
“Saya dimaklumkan bahawa GRS telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti permohonan kami, jadi kami hanya perlu menunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama masyarakat Cina di kawasan Sepanggar
“Kami akan beri masa kepada Ketua Menteri (Hajiji Noor) untuk membuat keputusan.”
Ditanya sama ada beliau yakin KDM akan diterima sebelum pilihan raya umum, ADUN Melalap berkata: “Mudah-mudahan. Tetapi dalam apa jua keadaan, penting bagi kami untuk terus membina hubungan kami dengan rakyat.”
Hajiji yang juga Pengerusi pro tem GRS sebelum ini melancarkan parti itu berkata satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menyemak permohonan daripada pihak yang berminat untuk menyertai gabungan itu termasuk daripada KDM dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru).
Setakat ini hanya empat pihak secara rasmi menjadi sebahagian daripada GRS, yang didaftarkan secara rasmi bulan lepas.
Selain Bersatu, yang diterajui Hajiji, parti lain ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Peter Anthony seperti Pedang Bermata Dua bagi GRS
Sebelum ini seorang penganalisis politik pensyarah UiTM Sabah Tony Paridi Bagang berkata, Peter dan KDM boleh menjadi seperti pedang bermata dua kepada GRS.
Baginya KDM akan menjadi pemecah belah dan mengucar kacirkan GRS pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Wujud risiko tinggi undi pecah dan sabotaj jika KDM, PBS dan STAR tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai peruntukan kerusi,” katanya
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletak pertaruhan jika ia menerima parti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai anggotanya selain kes rasuah Anthony yang sedang berjalan menjadi liabiliti untuk GRS kerana pesaingnya boleh menggunakan isu itu sebagai “peluru politik”.
Apa yang dilakukan oleh Hajiji Ketua Menteri sekarang adalah langkah bijak melayan semua parti apatah lagi bekas pemimpin Warisan yang mempunyai kerusi DUN.
GRS dijangka akan bermain tarik tali menerima Parti KDM sehinggalah PRU ke 15 akan datang.
Ramai penganalisis melihat penubuhan GRS sebagai 'Reset Sabah' persediaan jika parti yang mempunyai Ibu Pejabat di Semenanjung membuat keputusan tidak menguntungkan politik Sabah maka pemimpin-pemimpin Sabah akan membuat keputusan dalam PRU-15 nanti.
Penentuan dan pembahagian kerusi merupakan perkara yang paling sukar bagi gabungan parti-parti politik. Apapun semua boleh berlaku dalam politik termasuk Peter dan KDM akan bekerjasama dengan bos lamanya Datuk Seri Shafie Apdal Presiden Warisan.