Benarkah Skandal RM2.3bilion Deleum Berhad - Petronas hanya melibatkan CEO anak syarikat & Pegawai 'Junior Level'? Semua ini kambing hitam?Deleum punya 'kabel' kuat. Syarikat digantung Petronas tetapi tetap diberi projek!
Selepas 24 jam berdiam diri kekecohan rakyat mengenai rasuah RM2.3 Bilion sebuah GLC akhirnya Syarikat minyak milik negara, Petronas mengesahkan seorang daripada eksekutif peringkat rendahnya (Junior level) telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat rasuah.
Petronas menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatannya.
"Petronas mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk salah laku dalam kalangan kakitangan.
"Untuk tujuan ini, Petronas telah bekerjasama rapat dengan SPRM sejak 2012 dan akan meneruskan kerjasama ini untuk menghapuskan rasuah dalam kumpulan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelas syarikat minyak itu lagi, kod tatakelakuan dan etika perniagaannya jelas melarang amalan meminta-minta sesuatu yang tidak wajar, rasuah dan tabiat salah laku lain oleh pekerja, pengarah dan pihak ketiga yang melaksanakan kerja atau perkhidmatan untuk atau bagi pihak syarikat dalam kumpulan.
Untuk rekod, Petronas pada Januari yang lalu telah mengumumkan kejayaannya mengekalkan kedudukan sebagai jenama Asean paling bernilai dalam laporan 'Brand Finance Global 500' di samping menjadi antara 10 jenama minyak dan gas utama dunia.
‘Junior Level’ Petronas yang meragukan
Pengakuan penglibatan pegawai Petronas dalam skandal rasuah RM2.3 bilion membuka banyak keraguan bagaimana seorang pegawai yang dikategorikan oleh Petronas sebagai Junior Level mampu terlibat dengan rasuah sebesar itu. Jika Junior Level boleh mencuri RM2.3 bilion pastinya pegawai Senior atau pengurusan atasan jauh lebih besar lagi.
Apakah pegawai Junior Level itu hanyalah kambing hitam? Pokok tidak mungkin bergoyang tanpa angin bertiup!
Deleum Berhad Vs Petronas
Pada Disember 2020 Petronas dikejutkan dengan saman sivil (no. WA-22NCC-544-11/2020 ) oleh Deleum Berhad melalui syarikat unit miliknya 60% Deleum Primera Sdn Bhd (DPSB) untuk mendapatkan RM19.88 juta daripada dua eksekutifnya, eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd dan sub-kontraktornya sendiri atas dakwaan skim haram.
Mereka ialah Mazrin (CEO) dan Khairulazmi (COO) dan yang lain disaman ialah Noor Azlina Zakaria (Project Service Manager Deleum), Muhammad Hafiz Abd Aziz (Deleum), Mohd Azreen Abd Manap, Sharifah Sofia Syed Kamaruddin (isteri Azreen), Aimeer Rashid Jaafar, Synergy Spectacular Sdn Bhd, Semi Hermatics Engineering Sdn Bhd dan Hydra Admiral Sdn Bhd.
Skim yang didakwa itu, seperti yang dilaporkan media kononnya dimulakan untuk menipu Petronas Carigali berhubung dengan beberapa kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan antara unit Petronas dan DPSB.
"Jumlah yang dinyatakan dalam penyata tuntutan yang difailkan pada 5 Nov 2020 oleh DPSB terhadap pelbagai defendan atas dasar liabiliti bersama dan beberapa berjumlah RM19,876,389.87. Jumlah yang dituntut ini adalah berdasarkan siasatan forensik oleh PwC Consulting Associates (M) Sdn Bhd (PwC) dan kini tertakluk kepada penentuan mahkamah.”
Dua eksekutif kanan iaitu CEO, Mazrin Ramli dan senior general manager Khairulazmi Mohamad Karudin) DPSB telah dipanggil SPRM. Difahamkan, siasatan SPRM turut meliputi potensi penglibatan pengurusan tertinggi Deleum, eksekutif DPSB dan Petronas Carigali.
Kerana kantoi rasuah, Deleum Berhad menafikan mereka tahu skandal anak syarikatnya
Deleum Primera yang dipimpin Mazrin Ramli
SPRM mengikuti dengan teliti jejak wang daripada Petronas Carigali melalui DPSB, sub-kontraktornya dan eksekutif Petronas Carigali untuk memahami modus operandi yang terlibat dalam skim haram itu kerana mungkin melibatkan lagi rantaian lebih luas sehingga kepada pengurusan Petronas, anak syarikat, kontraktor utama sehingg kepada sub-kontraktor mereka.
Susulan kontroversi itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz telah memberi teguran dan amaran keras kepada kakitangannya berhubung soal rasuah berikutan siasatan yang menyaksikan pemecatan sembilan pegawai syarikat. Pegawai yang dipecat telah menerima bayaran tunai atau percutian yang dibayar ke lokasi eksotik yang ditanggung oleh para kontraktor PETRONAS.
Siasatan demi siasatan berpanjangan sehinggalah pengumuman SPRM baru-baru ini mengenai skandal RM2.3 bilion.
Isunya Pegawai Petronas daripada Petronas Carigali Sdn Bhd terlibat dan pastinya tak mungkin pegawai Junior mempunyai kuasa sebesar RM2.3 bilion.
Apa istimewa Deleum Berhad kepada Petronas?
Apa yang pasti Deleum Berhad punya kabel besar untuk mendapat projek-projek Petronas. Apa pun isu Deleum Berhad dan anak syarikatnya tetap akan diberi projek Petronas. Jangan lupa adanya kuda Deleum seperti Datuk Ishak Imam Abas dan Datuk Manharial a/l Ratilal bekas pengurusan kanan Petronas pastinya sangat tahu selok-belok Petronas untuk Deleum Berhad menyapu projek Petronas.
CEO Deleum di heret ke mahkamah
Rasuah syarikat Deleum Berhad dengan Petronas bukan kisah baru semalam dua. Pastinya ada dalang besar di belakang Syarikat Deleum Berhad. Pada 18 Mac 2021 kecoh apabila Pertuduhan sulung di bawah peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru diwartakan telah dikenakan kepada Syarikat Pristine Offshore kerana memberi rasuah RM321,350 kepada ketua pegawai eksekutif Deleum Primera Sdn Bhd Mazrin Ramli sebagai ganjaran untuk memastikan Pristine Offshore dianugerahkan subkontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.
Turut didakwa Chew Ben Ben, bekas pengarah Pristine Offshore mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah kepada Mazrin diantara 29 Jun dan 14 Oktober tahun 2020 di Kinrara Niaga 3, Puchong. Turut didakwa ialah Pengarah semasa Pristine Offshore, Datuk Abdul Kamal Mohd Mydeen. Chew Ben Ben adalah bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group yang sebelum ini terkait kes-kes lain di mahkamah.
Subkontrak yang dijanjikan kepada Pristine Offshore adalah untuk pembekalan bot kerja, tenaga kerja anak kapal dan perkhidmatan marin lain yang berkaitan dan sokongan luar pesisir seperti perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan serta pengubahsuaian yang diperlukan oleh Petronas Carigali.
Chew Ben Ben kiri berbaju putih didakwa di mahkamah
Kes rasuah Syarikat Deleum Berhad ini menjadi bahan ketawa kerana pada 25 Januari 2021 Bersempena Hari Integriti Deleum Berhad semua barisan Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja Deleum Berhad menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur. Hanya dua bulan selepas itu kes rasuah berlaku. Sangat ironis YBhg Dato' Haji Alias Salim, Pengarah SPRM Selangor melancarkan majlis Ikrar Bebas Rasuah itu.
Pengarah SPRM Selangor bersama Deleum Berhad- Ikrar Bebas Rasuah (IBR)
Petronas menggantung Syarikat Deleum Berhad menyertai tender
Susulan siasatan kes rasuah kepada anak syarikat Deleum Berhad, saman sivil mendapatkan RM19.88 juta, juga pendakwaan kes rasuah Mazrin Ramli CEO Deleum Primera, subkontraktor dan pegawai Petronas Carigali, Petronas Nasional Bhd pada 26 Mac 2021 menggantung Deleum Primera Sdn Bhd daripada menyertai tender Petronas. Petronas memaklumkan ia telah rosakkan imej anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn Bhd.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, Deleum Berhad tidak akan dipelawa dan tidak dibenarkan menyertai mana-mana tender akan datang yang dikeluarkan oleh Petronas, termasuk anak syarikatnya dan Petroleum Arrangement Contractors (PAC). Deleum juga tidak akan diberikan kontrak baharu oleh Petronas termasuk anak syarikatnya dan mana-mana PAC.
4 bulan berlalu siasatan kes rasuah itu semakin senyap sehinggalah pada bulan ogos 2021 Deleum Berhad mendapat penyelesaian dengan SPRM dengan hanya membayar kompaun RM1 juta berhubung skim haram membabitkan beberapa syarikat Deleum, pengarah dan subkontraktornya. Deleum Primera menerima notis 14 hari menyelesaikan kompaun itu.
Seperti sebuah drama terancang sebelum ini Deleum Berhad menafikan tahu skandal CEO dan pegawainya dalam anak syarikatnya dalam Deleum Primera serta melantik PricewaterhouseCoopers untuk menjalankan audit khas dan siasatan forensik dalam anak syarikat itu. Strategi 'kambing hitam' sudah berjaya. Wayang dituntut hampr RM20 juta tetapi Deleum Primera hanya diminta membayar kompaun RM1 juta.
Siasatan mereka mendedahkan bahawa Mazrin Ramli dan Khairulazmi Mohamad Karudin serta pemegang saham Deleum Primera telah memeterai skim haram dengan subkontraktor tertentu yang mengakibatkan kerugian kepada Primera.
Deleum Berhad diberi projek semula oleh Petronas Carigali
Hebat kabel Deleum Berhad kurang dua bulan membayar kompaun RM1 juta kepada SPRM pada 26 Oktober 2021 Deleum Bhd mengumumkan telah memperoleh dua lanjutan kontrak pembekalan injap julangan gas dan peralatan pemasangan, aksesori dan servis daripada Petronas Carigali Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh PETRONAS. Nilai kontrak akan bergantung pada kadar yang dipersetujui dan arahan kerja yang dikeluarkan oleh PCSB.
Cuma kali ini Deleum Berhad menggunakan anak syarikat lain iaitu Deleum Oilfield Services Sdn Bhd melaksanakan kontrak itu yang juga melibatkan penyediaan peralatan dan perkhidmatan untuk aset Sarawak dan Sabah bermula 20 Dis 2021 hingga 19 Dis 2023. Bagi kontrak pembekalan injap julangan gas (GLV) dari 7 Jan 2022 hingga 6 Jan 2023.
Hanya pada 8 April lalu kes skandal rasuah GLC meletup semula tetapi dengan jumlah penyelewengan lebih mengejutkan iaitu RM2.33 bilion. Tentulah lebih menakjubkan jika hanya Pegawai berstatus 'Junior Level' songlap jumlah besar ini. Pastinya mereka tidak berseorangan melakukannya. SPRM wajar menyiasat dan mengheret jerung-jerung Petronas yang bersembunyi.
[ARTIKEL BERKAITAN- [VIDEO] Pegawai Petronas Carigali antara 8 ditahan SPRM kes rasuah projek lebih RM2.3 bilion ]
Skandal RM2.3 bilion libatkan pegawai Petronas dan Deleum Berhad membuka mata ada sesuatu berlaku dalam Petronas yang akhirnya meledak. Deleum punya 'kabel' besar sehingga mereka mendapat kontrak berulang kali walaupun kes rasuah mereka tidak selesai sepenuhnya.
Apakah skandal rasuah kali in bakal menjejaskan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember lepas dan dilancarkan Pelan Induk Gas Sabah 4 April lalu memandangkan Deleum dibenarkan terus melaksanakan kontraknya di Sabah dan Sarawak? Kerajaan Sabah pastinya tidak mahu terganggu dengan hal-hal yang merugikannya.
Ketua Menteri ketika melancarkan Pelan Induk Gas Sabah 4 April lalu. Petronas Carigali- Aset Sabah antara pemain utama.
Jika kontrak Deleum Berhad disambung di Sabah apakah akan ada kesan dikemudian hari? Sabah mesti minta penjelasan
Nota: Kalau Junior Level boleh main RM2.3 bilion, Pegawai Senior agak-agak berapa bilion? Tak pe jadi pegawai junior di Petronas pun boleh kaya raya