Hajiji turut menggesa Kerajaan Persekutuan mengurangkan harga tambang penerbangan domestik. Kenaikan masa perayaan akan menjejaskan rakyat susah. Bung pula berkata isu perayaan je syarikat penerbangan hisap darah!
Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk meneliti isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tambang penerbangan yang tinggi telah meningkat dengan ketara sehingga membebankan orang ramai yang terpaksa terbang ke Kuala Lumpur dari sini atau sebaliknya.
Hajiji turut menggesa Kerajaan Persekutuan mengurangkan harga tambang penerbangan domestik.
“Sama ada untuk bekerja atau beriadah, tambang penerbangan yang tinggi telah memberi cabaran kepada individu dan keluarga.
“Ini juga tidak sesuai dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah memandangkan sempadan negara telah dibuka semula pada 1 April,” katanya.
Menurut Hajiji, Kabinet Negeri telah membincangkan perkara itu semasa mesyuarat mingguannya dan melihat kenaikan tambang penerbangan yang keterlaluan.
Beliau berkata, laporan kenaikan harga tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah baru-baru ini semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri telah menimbulkan kebimbangan dan Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan meneliti perkara itu.
“Kami menggesa Menteri Pengangkutan melihat perkara itu segera dan mengurangkan harga tiket yang dilaporkan melonjak kepada sekitar 566 peratus berbanding tambang penerbangan bukan musim perayaan untuk laluan yang sama.
“Ramai rakyat Sabah sama ada belajar atau bekerja di semenanjung dan kebanyakan mereka mahu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Tetapi dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, ramai yang tidak dapat pulang ke tanah air semata-mata kerana tidak mampu. Ia membebankan rakyat, justeru, kami di Kabinet Negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” tegasnya.
“Terdapat juga laporan bahawa harga tiket penerbangan ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau adalah lebih mahal daripada beberapa destinasi antarabangsa dari Kuala Lumpur,” tambahnya.
Bung kecam syarikat penerbangan
Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengecam keras syarikat penerbangan negara ini menaikkan harga tiket terutama ke Sabah dan Sarawak, ketika musim perayaan antaranya Aidilfitri yang bakal tiba tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat.
Beliau berkata dalam beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut perayaan Aidilfitri, justeru ramai rakyat Sabah di Semenanjung mahu balik ke Sabah, namun amat menyedihkan apabila mereka terpaksa membatalkan hasrat itu, akibat tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan yang mahal.
“Bayangkan tiket ekonomi sahaja untuk satu hala ada yang mencecah RM2,800, dan ada juga harga sehingga RM3,600...perkara sebegini tidak seharusnya berlaku syarikat penerbangan jangan sesekali mengisap darah penumpang.
“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, cukup-cukuplah hisap darah rakyat...Kementerian Pengangkutan diminta campur tangan dan tangani isu ini dengan segera,” katanya
Selain itu katanya ada syarikat penerbangan seperti Air Asia meletakan syarat semua penumpang wajib mendaftar masuk melalui mesin disediakan, dan bayaran RM100 dikenakan sekiranya penumpang mendaftar masuk melalui kaunter, yang mana ini tidak adil buat rakyat yang kurang faham dengan teknologi terkini.
“Syarikat penerbangan kena faham, di Sabah masih ramai yang tidak memiliki telefon pintar dan pakcik makcik dari kampung masih tidak faham mendaftar masuk melalui mesin yang disediakan,” katanya.
Semakan laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini, menyaksikan tiket penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Aidilfitri dari 29 April hingga 8 Mei.
Dilaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan hari ini dan akan mengumumkannya dalam satu sidang media.