Pembangunan landskap penting di PBT: Masidi
16:04 Apr 21, 2022  |  By SabahKini2
Pembangunan landskap penting di PBT: Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peranan arkitek landskap dapat memberi suntikan kepada pembangunan landskap. Ia termasuklah dalam penyediaan kawasan lapang yang teratur, berkualiti dan selamat digunakan oleh masya

KOTA KINABALU: Pembangunan landskap bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan persekitaran hijau dan sejahtera.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peranan arkitek landskap dapat memberi suntikan kepada pembangunan landskap.

Menurutnya, ia termasuklah dalam penyediaan kawasan lapang yang teratur, berkualiti dan selamat digunakan oleh masyarakat di Sabah.

Beliau turut menyokong agar diwujudkan Akta Profesion Arkitek Landskap bagi meningkatkan industri agar sama-sama membangunkan negeri ini selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
 
Masidi berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) yang diketuai oleh Naib Presiden ILAM Prof. Madya Dr. Nor Atiah Ismail baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan antara lain bertujuan memberi peluang kepada profesion arkitek landskap tempatan membangun dalam bidang pendidikan dan latihan selain diberi pendedahan serta peluang pekerjaan.

Katanya, ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan profesion arkitek landskap kepada pembangunan negeri termasuk Pelan Pembangunan SMJ, Inisiatif Penghijauan, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan alam sekitar.
 
Menurutnya, langkah itu turut mengukuhkan peranan arkitek landskap dalam perancangan landskap, reka bentuk, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan landskap negeri.

Selain itu jelasnya, ia memberi peluang kepada profesion arkitek landskap dalam pengemukaan pelan (PSP/SP) bagi projek landskap.

"Ia termasuklah peluang dan keutamaan untuk profesion arkitek landskap tempatan Sabah dalam skop kerja berkaitan landskap bagi membina kapasiti, pendedahan, mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri hijau selaras dengan aspirasi SMJ," katanya.
 
Dalam pada itu Masidi berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menambah pembiayaan dan kemudahan projek landskap bagi meningkatkan kualiti projek landskap di negeri ini.

Turut hadir, Ahli Majlis ILAM Liew Ying Yie; Presiden ILAM Sabah Eric Ye Lee Tsen; Naib Presiden ILAM Sabah Cheryl Tsen Yee Ling; Setiausaha ILAM Fadzliah Busu; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Stanley Chong; Penolong Setiausaha (Landskap) Hasnah Dousin; dan Arkitek Landskap Emmily Dessy Roipin.

Comment