Sebanyak 9.5 juta diperuntukkan kerajaan negeri laksana kegiatan, seni dan bahasa
15:05 May 31, 2022  |  By SabahKini2
Sebanyak 9.5 juta diperuntukkan kerajaan negeri laksana kegiatan, seni dan bahasa

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha ini bagi memastikan kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

PENAMPANG: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400,000 kepada persatuan kebudayaan bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa dalam Belanjawan 2022. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha ini bagi memastikan kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

“Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Antara strategi yang akan digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan Pembangunan e-Heritage.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dapat dinikmati oleh semua rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang untuk sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif SMJ demi pembangunan dan kemajuan negeri ini,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di KDCA, hari ini. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah mengisytiharkan Penutupan Pesta Kaamaatan Peringkat Negeri Sabah 2022.

Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag,Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang turun padang dan berjumpa dengan rakyat dalam perayaan Pesta Kaamatan, selepas hanya dapat diadakan secara maya sebelum ini akibat penularan pandemik COVID-19. 

Katanya, kemeriahan sambutan di seluruh negeri ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini sentiasa kukuh dan terpelihara. 

“Saya percaya simbolik semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus tersemat dan dijadikan contoh untuk memacu pembangunan serta kemajuan negeri ini. 

“Perayaan ini sesungguhnya mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini. Saya berharap perpaduan ini akan terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap berharap semoga Pesta Kaamatan yang bertemakan 'Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi' ini akan terus dimartabatkan sebagai mercu tanda kejayaan perpaduan, persefahaman dan kegemilangan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Keharmonian dan warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan istimewa, di samping memiliki kecantikan serta keindahan alam semula jadi yang berupaya menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Comment