Surat peletakan jawatan dan ikrar taat setia ditandangani bersama Warisan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 adalah satu skim tidak terpakai dalam undang-undang.
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi menolak saman Warisan terhadap ADUN Sebatik Hassan A Gani yang mengumumkan keluar parti itu, tahun lalu.
Saman dikemukakan itu adalah bagi mendesak Hassan meletak jawatan sebagai ADUN, susulan tindakannya keluar Warisan pada 25 Feb tahun lalu.
Dalam keputusannya, Hakim Wong Siong Tung, berkata seorang wakil rakyat boleh bertindak atas pertimbangannya sendiri dan tidak boleh dihalang secara sah oleh parti atau pengundi.
Katanya, surat peletakan jawatan dan ikrar taat setia ditandangani bersama Warisan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 adalah satu skim tidak terpakai dalam undang-undang.
“Seseorang wakil rakyat yang dipilih harus bebas untuk bertindak mengikut kemampuannya yang dirasakan terbaik serta tidak seharusnya dikekang oleh undang-undang sama ada kepada partinya atau kepada pengundi atau tertakluk kepada arahan sesiapa sahaja.
“Sebarang pengaturan yang boleh melucutkan kebebasan wakil rakyat yang dipilih itu akan bertentangan dengan dasar awam dan menyalahi undang-undang.
“Hukuman yang sewajarnya bagi wakil rakyat yang dipilih kerana mungkir janji politik adalah pengundi atau pemilih berpeluang mempertimbangkan sama ada untuk mengundi pihak lain pada peluang (pilihan raya) akan datang,” katanya.
Wong turut mengarahkan Warisan yang diwakili sendiri oleh setiausaha agungnya, Loretto Padua, supaya membayar dengan kos RM5,000 kepada Hassan selaku defendan.
Warisan sebelum ini memfailkan saman terhadap Hassan dan memohon pengisytiharan kerusi DUN Sebatik sebagai kosong selepas beliau memenanginya atas tiket Warisan pada PRN Sabah, 26 Sept 2020.
Sementara itu, Loretto ketika mengemukakan rayuan mempertahankan surat “ikrar kesetiaan” dan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh ditandatangani sebelum ini”, boleh dikuatkuasakan selepas ditandatangani Hassan sendiri.
Menurut saman dikemukakan Warisan, Hassan mempunyai kewajipan khas mengosongkan kerusi dimenanginya jika dia melanggar ikrar kesetiaan yang didakwa.
Terdahulu, peguam mewakili Hassan, Tengku Fuad Ahmad, dalam hujahnya, berkata penggunaan surat tidak bertarikh yang didakwa ditandatangani itu bertentangan dengan demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam rayuannya, Fuad berkata, bahawa Warisan melalui apa yang dipanggil ikrar taat setia dan surat peletakan jawatan yang didakwa tidak bertarikh dan ditandatangani sebelum ini terlibat dalam skim yang menyalahi undang-undang dengan tujuan untuk mengawal dan menyekat hak ADUN mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.