MyKad diimbas dan kertas siasatan sindiket jual MyKad palsu dibuka
03:02 Feb 21, 2018  |  By SabahKini2
MyKad diimbas dan kertas siasatan sindiket jual MyKad palsu dibuka

MyKad akan diimbas secara rawak di lapangan terbang Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membuka kertas siasatan berhubung sindiket menjual MyKad palsu berikutan laporan mengenai ahli kumpulan pengganas dikesan memiliki dokumen itu, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata siasatan dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis.

Beliau berkata, JPN dan Jabatan Imigresen juga sudah mengambil langkah segera meningkatkan pemeriksaan terutama di semua pintu masuk dan keluar melalui udara.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk meletakkan anggota bagi melakukan imbasan secara rawak.

"Ini bagi mengesan sama ada kad pengenalan yang digunakan itu palsu atau tidak. Kita sudah ambil langkah ini lebih awal sebelum ini.

"Jadi kita sudah ambil langkah supaya pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada JPN dan Imigresen," katanya sambil menambah beberapa tangkapan turut dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat sempena lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, dekat sini, petang tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan berita baru-baru ini bahawa elemen berisiko tinggi dapat meloloskan diri ke negara ini menggunakan kad pengenalan palsu.

Dalam satu laporan eksklusif pada 12 Februari lalu, NSTP mendedahkan elemen berisiko tinggi termasuk pengganas asing menyusup masuk ke negara ini menggunakan dokumen pengenalan Malaysia.

Ia termasuk suspek pengganas dari Filipina yang masuk secara haram ke Sabah bagi mendapatkan dokumen sebelum ke Semenanjung dengan ada antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menjawab soalan mengenai sindiket yang beroperasi dari Sabah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan terus memantau situasi di seluruh negara walaupun tiada tangkapan di negeri lain.

Katanya, kedudukan Sabah yang dekat dengan negara jiran memudahkan sindiket beroperasi dari negeri ini.

Sumber asal: Bharian

Comment