Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa masing-masing dikenalpasti sebagai Isa Sabri, 2 dan Norain Jaziz, 11.
KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak maut manakala dua lagi individu mengalami kecederaan selepas tertimbus tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa masing-masing dikenalpasti sebagai Isa Sabri, 2 dan Norain Jaziz, 11.
Katanya kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Bertindak dengan panggilan kecemasan diterima jam 8.26 malam, sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dengan bantuan dari BBP Lintas digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba pasukan bomba segera menjalankan operasi penyelamatan di lokasi membabitkan kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga,” katanya.
Beliau berkata kejadian membabitkan empat mangsa keseluruhan termasuk seorang mengalami cedera di bahagian kaki manakala tiga lagi tertimbus tanah dan pokok.
“Seorang mangsa yang juga kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sudah dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
"Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.
"Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans,” katanya.
Menurutnya dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa masing-masing berumur 28 tahun yang cedera di bahagian kaki dan patah tangan diberikan rawatan susulan.
Katanya operasi ditamatkan kira-kira jam 10 malam selepas pihaknya memastikan tiada lagi unsur bahaya lain di lokasi.