Hakim Azura Alwi berkata, beliau membenarkan permohonan itu selepas meneliti afidavit, undang-undang kes serta hujahan bertulis dan lisan oleh peguam Peter dan pihak pendakwaan.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan sabitan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony dalam kes pemalsuannya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi berkata, beliau membenarkan permohonan itu selepas meneliti afidavit, undang-undang kes serta hujahan bertulis dan lisan oleh peguam Peter dan pihak pendakwaan.
“Saya berpuas hati dan memutuskan untuk membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman,” katanya dalam penghakiman lisan ringkas.
Pada Jun, Peter memfailkan permohonan untuk menangguhkan sabitannya supaya dia dapat bertanding bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang mesti diadakan sebelum September tahun depan.
Pada 26 Mei, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas Peter didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kerja kontrak penyelenggaraan sistem.
ADUN Melalap itu juga didenda RM50,000, atau penjara 15 bulan jika ingkar.
Bagaimanapun, Azura hari ini memerintahkan jumlah ikat jamin dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000 untuk Peter dibebaskan sementara menunggu keputusan rayuan. Tambahan RM30,000 itu mesti dibayar selewat-lewatnya pada Rabu, katanya.
“Semua syarat ikat jamin lain yang dikenakan sebelum ini kekal,” katanya.
Peguam S Devanandan, yang mewakili Peter, memberitahu FMT beliau percaya hakim itu mengikuti duluan mengikat seperti yang diputuskan dalam kes SRC International Najib Razak.
Minggu lepas, Devanandan berhujah bahawa bekas perdana menteri itu memperoleh penangguhan hukuman dan sabitan selepas Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah pada Julai 2020.
“Mahkamah Rayuan mengesahkan perintah itu (penangguhan hukuman dan sabitan) selepas menolak rayuannya (dalam kes SRC International),” katanya dalam hujahan.
Beliau berkata, perintah sedemikian dibuat dalam kes Najib, dan tiada kes serupa dilaporkan dalam jurnal undang-undang Malaysia.
Najib, yang disabitkan atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International, membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.
Peter hanya memohon penangguhan hukuman selepas sabitan pada 26 Mei.
Bagaimanapun, beliau memfailkan permohonan untuk menangguhkan sabitan pada 3 Jun lepas.
Peguam D Senthinathan, yang memfailkan afidavit menyokong permohonan Peter, berkata wujud keadaan khas untuk mewajarkan penangguhan sabitan.
Peguam itu berkata, beliau khuatir Peter boleh dilucutkan kelayakan oleh pegawai pilihan raya jika beliau memutuskan untuk bertanding pada PRU15.
Perlembagaan persekutuan dan negeri menyatakan bahawa Ahli Parlimen atau ADUN hilang kelayakan jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun serta denda lebih RM2,000, dan jika mereka tidak mendapat “pengampunan bebas”.