Mogok ‘Food Delivery Blackout’ tidak memberi impak
16:08 Aug 05, 2022  |  By SabahKini2
Mogok ‘Food Delivery Blackout’ tidak memberi impak

Hasil tinjauan mendapati, ‘rider’ tetap mengambil pesanan khususnya ketika waktu puncak makan tengah hari walaupun sebelum ini mereka mengugut untuk memboikot menghantar makanan selama 24 jam hari ini.

PETALING JAYA: Mogok ‘Food Delivery Blackout’ digerakkan kumpulan penghantar p-panggilan tertentu hari ini seolah-olah tidak membawa impak besar kerana masih ramai ‘rider’ mengambil pesanan seperti biasa.

Hasil tinjauan sekitar Lembah Klang mendapati, ‘rider’ masih mengambil pesanan khususnya ketika waktu puncak makan tengah hari walaupun sebelum ini mereka mengugut untuk memboikot menghantar makanan selama 24 jam hari ini.

Ketika ditemui, seorang penghantar hanya mahu dikenali Alif, 31, berkata dia tidak akan menyertai boikot kerana sudah menjangkakan hasilnya ‘gagal’.

Beliau berpandangan, boikot seperti itu yang pernah diadakan secara besar-besaran pada 2019 tidak membawa sebarang hasil jika tidak disertai solidariti bersama pelanggan dan vendor.

“Kalau boikot tetapi hanya ‘rider’ saja memang tak jadi apa. Kalau rider nak boikot, pelanggan dan vendor kena boikot sama, itu baru menjadi.

“Hari ini kami jalan macam biasa sebab ada anak bini yang nak kena jaga, kalau tak, dapur rumah memang tak ‘berasaplah’,” katanya.

Sementara itu, Iman Azmi, 24, berkata mogok dibuat ketika ini ibarat tiada fungsi kerana sesetengah ‘rider’ khususnya yang baru akan tetap mengambil pesanan.

“Boikot macam mana sekali pun tiada fungsi sebab yang boikot orang lama tetapi ‘rider’ baru tetap jalan cari duit,” katanya yang lebih dua tahun bekerja sebagai penghantar.

“Sebelum ini ada juga mogok tak puas hati semua, tapi tiada tindakan apa pun. Bayaran macam tu juga,” kata Alif Irfan, 25, yang turut menjangkakan protes ‘Food Delivery Blackout’ itu tidak mendapat sambutan baik dalam kalangan ‘rider’.

Terdahulu, syarikat penghantar makanan foodpanda mengumumkan pemberian bonus selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad kepada penghantar berdaftar bawahnya.

Tindakan itu susulan ada kumpulan penghantar tertentu dilaporkan mahu menggerakkan mogok 24 jam bermula malam tadi hingga tengah malam ini bagi menuntut syarikat berkenaan menilai semula kadar upah diterima mereka.

Melalui notis syarikat itu, bonus tambahan untuk penghantar makanan akan diberikan kepada mereka yang bekerja pada waktu dan tarikh ditetapkan.

“Flexi bonus kembali lagi! Peluang terakhir anda (penghantar makanan) untuk dapatkan bonus tambahan pada minggu ini dengan bekerja pada 5 Ogos (hari ini), 6 Ogos (Sabtu) dan 7 Ogos (Ahad).

“Sekiranya anda (penghantar makanan) bekerja di zon-zon berikut pada waktu peak hour (waktu kemuncak) di zon-zon berikut,” menurut pengumuman itu.

Comment