Van persendirian terbabas, satu penumpang maut
16:08 Aug 26, 2022  |  By SabahKini2
Van persendirian terbabas, satu penumpang maut

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal kejadian berlaku apabila van persendirian yang membawa 14 pelancong warga Indonesia itu dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Kota Kinabalu kira-kira jam 5

PAPAR: Seorang penumpang van persendirian yang dilaporkan parah selepas kenderaan dinaiki terbabas di Jalan Kimanis-Keningau di sini disahkan meninggal dunia di Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa adalah warganegara Indonesia yang berumur 21 tahun.

“Siasatan awal kejadian berlaku apabila van persendirian yang membawa 14 pelancong warga Indonesia itu dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Kota Kinabalu kira-kira jam 5.30 petang.

“Apabila kenderaan tersebut menuruni jalan bukit dan berselekoh, pemandu gagal mengawal kenderaan dengan baik sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan dan merempuh tebing bukit kecil dibahu jalan. 

“Impak perlanggaran menyebabkan kenderaan berpusing dan terbalik berhampiran tebing bukit,” katanya semalam.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki dibantu keluar dari kenderaan oleh penumpang lain sebelum rebah. 

“Mangsa bersama seorang lagi penumpang kemudiannya dihantar ke Hospital Papar menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pada jam 7.50 malam, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Papar,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Comment