Tukang urut transgender dilepas, dibebas tuduhan samun anggota polis
23:09 Sep 13, 2022  |  By SabahKini2
Tukang urut transgender dilepas, dibebas tuduhan samun anggota polis

Nidsmar Jalal yang berambut panjang berwajah dan berpakaian seperti wanita dituduh menyamun anggota polis itu di biliknya di Bandaran Berjaya tingkat tiga berkenalan melalui WeChat

Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan seorang lelaki berperwatakan wanita (transgender) daripada tuduhan menyamun seorang anggota polis, dua tahun lalu.

Nidsmar Jalal, 23, yang berambut panjang dan berwajah seperti wanita, selain turut berpakaian wanita sebelum ini dituduh menyamun anggota polis itu di sebuah premis di tingkat tiga sebuah bangunan di Bandaran Berjaya, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, 17 Jun 2020.

Dia didakwa menyamun RM300 daripada anggota polis berusia 45 tahun terbabit yang berpangkat lans koperal.

Hakim Ummu Kalthom Abd Samad melepas dan membebaskan Nidsmar tanpa memanggilnya membela diri setelah mendapati tiada kes prima facie terhadap tertuduh ketika membacakan keputusannya pada prosiding hari ini.

Beliau berkata, setelah meneliti bukti yang dikemukakan melalui saksi yang dibawa ke mahkamah dan membaca hujahan bertulis serta hujahan balas kedua-dua pihak, pendakwaan didapati gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Nidsmar yang bekerja sebagai tukang urut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 28 Januari 2021 dengan tujuh saksi dipanggil pihak pendakwaan sebelum menutup kes pada 31 Mac tahun ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Adibah Saiful Bahri, manakala Nidsmar diwakili peguam, Datuk Seri Rakhbir Singh.

Dalam hujahannya, Rakhbir berkata, anggota polis terbabit yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak pasti sama ada laporan polis yang dibuatnya terhadap Nidsmar adalah salah.

Peguam itu mengemukakan hujahannya bahawa tiada kejadian samun berlaku terhadap anggota polis terbabit seperti yang dilaporkannya, sebaliknya mendakwa ia hanya rekaan lans koperal berkenaan.

Beliau berhujah bahawa anggota polis terbabit sebenarnya datang mencari Nidsmar di biliknya di tingkat tiga Bandaran Berjaya selepas berbual dengannya melalui aplikasi WeChat.

Rakhbir berhujah, anggota polis terbabit cuba menunjukkan dirinya tidak bersalah dan menjadikan Nidsmar sebagai mangsa dengan mengatakan tertuduh menyamunnya.

 

Comment