Pasar Tamu tingkatkan pemasaran hasil pertanian – Ronald
14:09 Sep 18, 2022  |  By SabahKini2
Pasar Tamu tingkatkan pemasaran hasil pertanian – Ronald

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia adalah bermatlamat bagi memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak

BELURAN: Projek menaiktaraf Pasar Tamu yang dibangunkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia adalah bermatlamat bagi memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penaiktarafan pasar tamu tersebut memberi manfaat kepada 120 orang peserta sedia ada dalam memasarkan produk-produk mereka.

“Ini sekaligus membantu pengguna mendapatkan produk-produk pertanian dan industri makanan pada harga yang berpatutan di daerah Beluran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyaksikan sesi penyerahan Pasar Tamu Beluran kepada Majlis Daerah Beluran seterusnya merasmikan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia @ Beluran di sini hari ini.

Pasar Tamu itu merupakan yang keempat dinaiktaraf di Sabah selepas Pasar Tamu Sook, Kudat dan Kunak.

Projek Naiktaraf Pasar Tamu di Beluran telah siap pada pertengahan bulan Mei 2022 di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang berjumlah RM746,000.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kementeriannya sentiasa prihatin dan komited dalam menaiktaraf kehidupan usahawan agromakanan dan kebajikan para peladang, penternak, petani dan nelayan agar bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kelangsungan hidup Keluarga Malaysia.

Pada majlis simbolik Perasmian Pasar Tamu Beluran, Ronald turut menyerahkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut secara tunai sebanyak RM193,275.80 kepada seramai 650 orang nelayan laut.

Untuk rekod, nilai bayaran ESHN Laut bagi seluruh nelayan Negeri Sabah bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM 22,013,900 yang memberi manfaat seramai 7,671 orang nelayan laut.

Manakala, ESHN Darat di Daerah Beluran di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi tahun 2022 bernilai RM534,000 turut diserahkan hari ini yang memanfaatkan 178 orang nelayan darat.

Selain itu, Penyampaian Projek Naik Taraf Jeti Nelayan oleh LKIM bagi 14 buah jeti di kawasan Beluran dengan kos diluluskan (waran) RM1.5juta turut diadakan. -SM

Comment