Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan sedang melakukan apa sahaja untuk menyiapkan projek tebatan banjir termasuk dua yang sedang dijalankan di Penampang dan Putatan.
PENAMPANG: Penduduk di sekitar kawasan banjir dinasihatkan berpindah ke kawasan lebih selamat ketika hujan lebat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan sedang melakukan apa sahaja untuk menyiapkan projek tebatan banjir termasuk dua yang sedang dijalankan di Penampang dan Putatan.
“Malangnya, kerja-kerja ini hanya akan siap dalam beberapa tahun dan kita menjangkakan keseluruhan kerja-kerja tebatan banjir akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.
“Dalam pada itu, saya menggesa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan banjir supaya membuat perancangan berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat ketika hujan lebat,” katanya.
Jeffrey berkata demikian semasa lawatannya ke Pusat Kebudayaan Penampang pada Isnin di mana 13 keluarga ditempatkan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air ketika hujan lebat pada Ahad.
Jeffrey turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan peningkatan air sungai.
Beliau juga tidak menggalakkan pemilik tanah membina rumah mereka terlalu dekat dengan sungai yang mudah dilanda banjir.
“Musim hujan baru bermula dan menurut Jabatan Meteorologi, dijangka hujan lebih banyak turun sebelum akhir tahun ini.
“Cuaca semakin tidak menentu akibat kesan perubahan iklim. Marilah kita bersama-sama mengelak daripada kerugian harta benda,” katanya.
Jeffrey yang membuat lawatan mengejut ke pusat itu diiringi Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, Pegawai Jabatan Kebajikan, Jurutera Daerah Ir Irene Choo, Ketua Polis Daerah Dept Supt Mohd Haris Ibrahim dan Senator Datuk Ambrose Dumpangul.
Beliau turut diberi taklimat mengenai keadaan banjir di lapangan oleh Chong di Pusat Bencana Alam Daerah dan langkah-langkah yang diambil untuk membantu mangsa. – SM