BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) komited dalam membantu dan menggalakkan masyarakat supaya menceburi bidang penternakan sarang burung walet di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata industri ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan sudah menjadi antara industri terpenting di Sabah.
Katanya, penternakan sarang burung walet kini sedang giat diceburi dan diusahakan dalam kalangan rakyat di negara ini terutamanya di daerah Beluran.
“Di daerah ini sahaja lebih 1,100 rumah sarang burung sudah diusahakan oleh penduduk dan jumlah tersebut meliputi 25 peratus rumah sarang burung yang ada di negeri ini.
“Justeru, MAFI melalui Lembaga Pertubuhan Peladang mengambil peranan untuk memajukan industri ini karana dilihat ia boleh membantu meningkatkan nilai eksport negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Walet Beluran sempena sambutan LPP50, semalam.
Menurutnya, MAFI juga sudah mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk mewujudkan kilang pemprosesan sarang burung walet di daerah ini yang dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
“Kilang itu mampu membantu untuk merangsang pertumbuhan industri sarang burung walet di parlimen Beluran.
“Pemain industri boleh menjual sarang burung walet mereka terus kepada PPK Beluran dengan harga yang lebih baik tanpa menggunakan orang tengah,”katanya.
Selain itu, katanya, MAFI turut mengambil berat soal protokol yang perlu dipatuhi oleh semua pemain industri kerana ia melibatkan eksport ke luar negara.
“Protokol tersebut perlu dipatuhi termasuklah perlu menjalani tapisan Jabatan Veterina serta Kesihatan kerana produk ini adalah untuk di eksport ke luar negara dan menjadi bahan makanan.
“MAFI akan cuba membantu pemain industri memperoleh pensijilan daripada pelbagai agensi supaya produk eksport kita selaras dengan protokol yang dikehendaki negara pengimport,” katanya.
Ronald berkata, pihaknya yakin industri ini akan menjadi produk agromakanan luar negara 2.0 terpenting di negara ini.
Dalam pada itu, Ronald berkata Memorandun Persefahaman (MoU) yang dibuat antara PPK Beluran dengan syarikat Nestlin Sdn Bhd juga dapat membantu membangunkan industri ini.
“MoU bernilai RM4 juta setahun untuk tempoh lima tahun itu memberi tumpuan kepada perkongsian, kepakaran, strategi pengurusan, perkongsian infrastruktur, khidmat nasihat dan pemasaran hasil,” katanya.