Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah bersetuju meluluskan geran tahunan sebanyak RM500,000 sebulan bersamaan RM6 juta setahun.
KOTA KINABALU: Pemberian geran tahunan berjumlah RM6 juta kepada Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) membuktikan sokongan dan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah bersetuju meluluskan geran tahunan sebanyak RM500,000 sebulan bersamaan RM6 juta setahun.
Katanya, bantuan berkenaan adalah tambahan kepada dana sedia ada untuk membantu kos operasi kolej.
Menurutnya, kerajaan juga akan menyediakan kuota biasiswa khas kepada 100 pelajar KTYS setiap tahun menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
"Bagi meningkatkan infrastruktur pembelajaran dan kemudahan komunikasi, teknologi maklumat (ICT) di KTYS, saya bersetuju meluluskan dana khas sebanyak RM500,000.
"Setiap pegawai dan kakitangan KTYS juga akan menerima pemberian secara 'one-off' berjumlah RM500.
"Pemberian ini akan dibayar pada gaji Disember 2022 dan diharap ia akan meningkatkan tahap motivasi dan mutu kerja warga KTYS," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen KTYS Kali Ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya berharap menerusi bantuan berkenaan ia dapat meningkatkan prestasi pelajar sekali gus membolehkan pihak pengurusan kolej untuk melaksanakan program yang lebih baik pada masa akan datang.
Menurutnya, pembangunan modal insan antara fokus yang diutamakan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memastikan aspek pendidikan dapat dipertingkatkan untuk rakyat Sabah.
"Sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, saya memberi sokongan sepenuhnya untuk memastikan kejayaan KTYS dalam persada pendidikan tinggi dan melahirkan belia yang terjamin masa depannya.
"Isu-isu kewangan, pengurusan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur serta prasarana di kampus dan asrama akan ditangani secara berperingkat untuk keselesaan dan keselamatan kakitangan dan pelajar.
"Saya percaya dengan bantuan dan peruntukan yang diberikan akan memudahkan laluan dan perjalanan para graduan dalam mendapatkan pendidikan formal dan kemahiran," jelasnya.
Katanya, ia sekali gus akan melahirkan tenaga mahir yang boleh menyumbangkan semula kepada negeri Sabah dan mengurangkan kebergantungan negeri kepada tenaga kerja luar.
Di samping itu beliau turut berharap agar KTYS mampu terus melahirkan graduan yang memenuhi permintaan pasaran industri masa kini.
Menurutnya, pendekatan digital dan teknologi perlu diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan kefahaman, kemahiran serta mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan sebenar.
"Kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan terutamanya golongan belia dalam agenda memacu pembangunan negeri ini," katanya.
Pada majlis itu, seramai 486 graduan peringkat diploma dan sijil asasi menerima pengiktirafan sempena majlis konvokesyen berkenaan.
Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan merangkap Exco Pendidikan Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Yayasan Sabah yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan Ketua Eksekutif KTYS Samin Ongki.