DUA SISI YB DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
09:12 Dec 02, 2022  |  By SabahKini2
DUA SISI YB DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Dulu NO ANWAR NO DAP NO BERSATU. NO semua. Solo. Namun selepas BN kalah Zahid melakukan sebaliknya. Anwar sebagai pilihan sebagai PM. Berlaku 'intrigue' perebutan antara bakal kerajaan PN atau Kerajaan PH yang tiba-tiba ditentukan oleh UMNO

Tentu semua orang yang mengikuti perkembangan politik DS Dr Ahmad Zahid Hamidi tak lupa gambar beliau melafazkan slogan membawa parti yang beliau ketuai ke PRU 15: NO ANWAR NO DAP NO BERSATU. NO semua. Solo.

Setelah keputusan PRU15 diumumkan dan BN kalah, Zahid melakukan sebaliknya. Zahid bekerja keras untuk memastikan YAB DS Anwar terlantik menjadi PM. Berlaku 'intrigue' perebutan antara bakal kerajaan PN atau Kerajaan PH yang tiba tiba ditentukan oleh UMNO. Tindakan beliau itu membangkitkan sedikit 'uproar' di kalangan pemimpin UMNO dan hampir sampai ke akar umbi.

Rupanya beliau seorang pemain politik yang sangat cekap, kerana dengan sekelip mata suara bising itu dapat beliau padam. Tidak sedikit yang baru cuba lari itu lekas lekas kembali mencium tangan beliau. Zahid tampil memenangi intrigue dalaman itu.

Ya ada suara di luar UMNO yang masih sehingga sekarang berbincang mengenai kemungkaran Zahid terhadap partinya. Tapi semua itu sudah tidak relevan. Yang penting 'Cikgu' sudah menjadi PM. Juga bukan kecil anak risiko yang ditanggung oleh Cikgu kerana meminta bantuan murid nakalnya. Selebihnya selepas itu Zahid pasrah.

Ya satu sisi, Zahid melakukan perbuatan mungkar politik semata mata untuk gurunya. Tak mengapalah jika beliau kemudian nanti dihumban ke 'neraka politik' kerana maksiat politik itu. Ya tentu tak banyak orang sanggup lakukan seperti yang Zahid lakukan. Saya katakan Zahid manusia luar biasa. Luar biasa kesetiaannya dan luar biasa cara berfikirnya dan luar biasa taktik dan perhitungannya.

Marahlah orang YB DS DR Ahmad Zahid kepada saya kerana saya menulis begini.

Namun pada sisi lain, saya cuba masuk ke dalam kasut Zahid. Adakah Zahid lakukan apa yang dilakukan semata mata untuk cikgunya. Saya cuba selami hati Zahid walaupun saya bukan pawang atau Shaman.

Zahid berbisik kepada hatinya 'aku lakukan ini untuk UMNO'. Sama ada suara hati itu ikhlas pada mulanya, itu bukan terlalu penting. Yang penting sekarang beliau percaya dan dengan conviction bahawa yang telah dilakukan itu ialah untuk UMNO terus hidup, dan hidup sihat bukan hidup dalam sakit yang nazak.

Zahid menimbang. Bersama PN atau bersama PH. Bilangan kerusi BN sedikit tetapi amat diperlukan semua pihak. PN seperti tidak mengalu alukan BN. PN seperti sedia menjadi pembangkang daripada bersama BN yang banyak menyulitkan PN semasa bersama dalam kerajaan sebelumnya. Idea mempercepatkan PRU pun bukan idea PN tetapi terpaksa akur kerana tekanan UMNO. Berbanding PH, nyata sekali YAB DS Anwar mengalu alukan dan dapat pula mengamankan sekutu dalam PH yang bukan calang calang pendirian mereka dulu menolak BN.

Mungkin orang PN kata biar UMNO jadi luncai terjun laut dengan labu-labunya. Orang Melayu akan tolak UMNO habis ke laut kerana sanggup duduk serumah dengan DAP. Itu belum tentu. Jika BN bertanding PRU 16 dengan kekal penyokong Melayu taksub campur dengan kembalinya sokongan Cina dari DAP dan Keadilan, mungkin gambarnya lain pula. Selain itu, jangan lupa YAB PM mungkin juga sudah berbisik 'my dear disciple, I wont let you down. Take my word'. Lalu dijawab 'my complete submission to you Sir'.

Dalam keadaan itu, tentu Zahid berfikir lebih baik berkahwin dengan bakal pasangan yang kurang cantik latarnya tetapi kelihatan menerima dan mengalu-alukan, berbanding dengan calon yang kelihatan mulia tetapi tiada kesungguhan untuk membina rumahtangga yang kuat kerana ada rekod berputus cinta. Luka putus cinta masih baru. Cinta hendaklah sekurang kurangnya kelihatan mutual.

Keturunan UMNO kelihatan lebih terjamin jalurnya dan dialu alukan jika berkahwin dengan PH walaupun sebelumnya tidak pernah 'dating'. Jika terjadi, ia adalah perkahwinan yang diatur. Jika ada 'dating' hanyalah sedikit diam diam antara murid dan cikgu. Bukankah hubungan murid-cikgu amat baik untuk UMNO kerana kedua-duanya pernah ada jalur hubungan DNA. Ya UMNO tetap kuat dalam agenda Zahid.

Melalui Zahid UMNO dijanjikan layanan baik dengan tawaran menduduki kabinet. Zahid berpengalaman lama di dalam kerajaan dan sangat singkat pengalaman sebagai pembangkang. Pengalaman itu tentu mengajar dan mempengaruhi pendirian Zahid bahawa berada dalam kerajaan lebih baik untuk UMNO berbanding menjadi pembangkang.

Jangan marahkan Zahid kerana berpendirian begitu. Ingat beliau bukan berfikir untuk dirinya (sekurang kurangnya itulah yang beliau percaya) tetapi untuk UMNO. Anda tidak tahu setakat mana kekuatan sumber dan aparatus UMNO untuk menghadapi PRU16, sedangkan beliau amat tahu. Anda hanya 'non-participant observers' berbanding Zahid yang berada pada kuasa Pusat.

Penentang keputusan Zahid bercakap mengenai maruah dan kesucian tindakan. Hei. Ini politik bukan perjalanan berdakwah keluar 40 hari untuk belajar membersihkan niat hati dan perbuatan. Bagi zahid 'bottomline' politik ialah memanfaatkan peluang walaupun tinggal sedikit.

Berada dalam kabinet memungkinkan BN/UMNO mendapat kebebasan bergerak, terus mendapat sinaran lampu serta ada peranan memberi khidmat awam. Melaluinya orang BN/UMNO kekal disebut sebut, tidak dilupakan.

Seperti orang bermain saham, sama ada keluar terus dari pasaran setelah menanggung kerugian atau kekal dalam pasaran selagi ada sedikit peluang dengan harapan memperoleh 'recovery'. Itu cara berfikir praktikal Zahid. Berada di dalam kabinet memungkin BN/UMNO membeli masa untuk konsolidasi, bermuhasabah dan merancang masa depan berbanding gopoh gapah keluar membawa diri sehelai sepinggang setelah hilang segala-galanya.

PAU UMNO nanti dijangka Zahid akan kekal Presiden. Tentang kes kes mahkamah beliau, itu juga beliau pasrah. Jika beliau mendapat advantage itu hanya 'bonus', jika tidak, memadailah beliau dikenang sebagai PENYELAMAT UMNO.

Begitu sedikit telahan Pak Din. Mungkin penentang Zahid marah Pak Din pulak di sini. Hei Pak Din dah U turn. Cepatnya.

Takkkkkk.. Pak Din hanya cuba melihat dua sisi YB DS Dr Ahmad Zahid. Terpulanglah kepada kawan kawan nak melihat cara kawan kawan sendiri. Boleh hukum Zahid atau boleh herokan Zahid. Namun ada pilihan ke-tiga iaitu berusaha memahami beliau. Terpulang.

Marah la Pak Din tapi jangan lama sangat. Kita kan dah janji kita nak kawan sampai mati.


Nordin Kardi
Kuala Kangsar
1 Disember 2022

 

2 Comments