Peja kata Bersatu kekal di Sabah, Dr Ronald bakal ketuai Bersatu Sabah?
15:12 Dec 10, 2022  |  By SabahKini2
Peja kata Bersatu kekal di Sabah, Dr Ronald bakal ketuai Bersatu Sabah?

Bersatu akan kekal dan penyusunan struktur sedang dilakukan semula. Peja yakin Bersatu masih diterima di Sabah. Bersatu akan bangkit semula katanya.

Bersatu akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit, kata timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin tertinggi Bersatu Sabah diketuai ketuanya, Hajiji Noor, mengumumkan keluar parti itu, hari ini.

“Pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.

“Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada Bersatu di seluruh negara termasuk di negeri Sabah. Bersatu akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Faizal juga menyatakan dukacita atas pengumuman dibuat Hajiji yang pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menghormati pendirian ketua menteri itu termasuk pemimpin negeri lain.

Beliau juga menyatakan kekagumannya membabitkan ahli Bersatu yang kekal setia bersama parti itu, selain menegaskan satu hari nanti mereka akan “mengenali” Anwar Ibrahim yang didakwa sentiasa memungkiri janji.

Awal hari ini, Hajiji berkata pemimpin Bersatu Sabah “sebulat suara” keluar parti atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Katanya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Hajiji berkata beliau dan kepimpinan Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

Menurut sumber satu parti tempatan Sabah yang telah ditubuhkan sejak tahun 2013.

Buat masa ini kerusi Parti Perikatan Sabah hanya satu-satunya di Parlimen Beluran yang dimenangi Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu.

Dijangka Dr Ronald Kiandee bakal mengetuai Bersatu Sabah selepas penyusunan semula struktur parti itu.

Setakat ini tidak diketuai apakah Bersatu pusat akan mengambil tindakan perundangan terhadap Hajiji dan wakil rakyat Bersatu Sabah. 

 

2 Comments