Isu pencerobohan perairan Malaysia di Laut China Selatan, Wisma Putra Mindef perlu ambil tindakan tegas – Ruslan
14:01 Jan 04, 2023  |  By SabahKini2
Isu pencerobohan perairan Malaysia di Laut China Selatan, Wisma Putra  Mindef perlu ambil tindakan tegas – Ruslan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Datuk Ruslan Muharram berkata, pencerobohan yang berlaku sejak sekian lama dan kini semakin kerap telah menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan khususnya Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan (Mindef) diharap dapat mengambil langkah tegas susulan siri pencerobohan tentera China di perairan Malaysia di Laut China Selatan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Datuk Ruslan Muharram berkata, pencerobohan yang berlaku sejak sekian lama dan kini semakin kerap telah menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, terbaru, pihak US Indo-Pacific Command telah mengeluarkan imej pintasan pesawat tempur tercanggih iaitu J-11 milik Tentera Laut China di ruang udara antarabangsa di laut China Selatan, baru-baru ini.

Menurutnya, imej itu dirakam pada 21 Disember 2022, baru-baru ini namun tiada sebarang reaksi dari Wisma Putra setelah 72 jam berlalu sejak laporan rasmi media antarabangsa Agensi Reuters dikeluarkan mengenai insiden itu.

“Kita ingin tahu sejauh mana situasi ini mengancam kedaulatan negara khususnya kedudukan Sabah dan Sarawak serta apakah tindakan susulan Wisma Putra untuk tangani isu yang sudah berlaku sekian lama?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.(3 Januari)

Ruslan turut menggesa Wisma Putra serta Mindef memberikan penjelasan dan kenyataan segera berkaitan isu berkenaan kerana ia turut melibatkan keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, pihaknya sebelum ini telah bangkitkan isu sama kepada kerajaan sebelumnya dan amat berharap kerajaan persekutuan kali ini lebih peka serta tegas dalam isu terbabit.

“Segala kepentingan negara di perairan kita di Laut China Selatan khususnya melibatkan industri minyak dan gas serta perikanan perlu terjamin daripada sebarang ancaman luar khususnya China.

“Dikhuatiri, kita bakal kehilangan segala aset kita di rantau Laut China Selatan jika Malaysia terus-terusan berdiam diri atau berlembut dalam isu pencerobohan tentera China ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ruslan menyeru kerajaan menempatkan aset pertahanan terbaik di Sabah dan Sarawak demi keselamatan rakyat di kedua-dua wilayah yang menjadi benteng hadapan jika berlaku sebarang konflik berkaitan isu terbabit di masa depan.

Katanya, pencerobohan sejak tahun 2013 oleh pihak ketenteraan serta maritim China sebagaimana dilaporkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) termasuk laporan media lainnya, membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

Menurutnya, situasi sama turut dialami negara Asean lainnya hingga mereka mengambil langkah memperkukuhkan aset ketenteraan di perairan negara masing-masing di rantau tersebut.

“Kita perlu lakukan tindakan sama kerana ia penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekaligus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

“Ini adalah pendapat peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara adalah keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan aspek ini terpelihara,” tegasnya.

Comment