Pergiat usaha dekati belia serta beliawanis – Redonah
14:03 Mar 06, 2023  |  By SabahKini2
Pergiat usaha dekati belia serta beliawanis – Redonah

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, antara langkah yang diambil adalah melipatgandakan penggunaan media sosial dan teknologi untuk menyalurkan maklumat tepat kepada golongan berkenaan.

KOTA MARUDU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) akan menggerakkan usaha melaksanakan lebih banyak program belia dalam pendekatan mendampingi belia serta beliawanis dengan menganjurkan pelbagai aktiviti secara berterusan bagi memenuhi aspirasi golongan itu.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, antara langkah yang diambil adalah melipatgandakan penggunaan media sosial dan teknologi untuk menyalurkan maklumat tepat kepada golongan berkenaan.

Katanya, pendekatan tersebut dianggap berkesan memandangkan belia kini terdedah dengan dunia tanpa sempadan dan adalah wajar golongan tersebut lebih didedahkan dengan maklumat dan pengetahuan yang berguna serta bermanfaat.

“Untuk mendekati golongan ini, kita perlu ikut arus pembangunan yang sealiran dengan aspirasi mereka. Golongan generasi muda ini sangat pantas dalam mengikuti pelbagai isu di alam maya sekali gus menuntut kepada kebijaksanaan dalam menapis sesuatu yang diterima.

“Oleh sebab itu, Program Santai Belia Kampung Tagaro adalah acara yang berbentuk lebih mesra,” katanya semasa berucap di Kampung Tagaro Dun Bandau Kota Marudu semalam.

Hadir sama Ketua Anak Negeri Dun Bandau Balanga Timbuong serta belia beliawanis Kampung Tagaroh. Dalam pertandingan itu sebanyak 8 pasukan badminton wanita dan 7 pasukan bola tampar lelaki.

Redonah yang Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, program berbentuk santai amat disukai dan kita boleh menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan isu-isu yang sukar difahami mereka dengan lebih berkesan.

Tambahnya, melalui pendekatan tersebut juga, para pemimpin setempat boleh bergaul lebih mesra dan dapat mengelakkan perasaan malu ataupun rendah diri dan membolehkan para pemimpin mendapat maklum balas mengenai keperluan golongan muda yang perlu disediakan bagi jangka masa panjang dan jangka pendek.

Dengan sentuhan peribadi sebegini, mereka lebih rasa dihargai dan tidak segan meluahkan masalah yang dihadapi kepada pemimpin.

“Jika kita bersembang-sembang dengan pemimpin di akar umbi kita mengetahui masalah yang dihadapi golongan belia tersebut, mungkin di kawasan mereka ada masalah dan memerlukan bantuan dan program santai ini menjadi platform terbaik untuk mengemukakan masalah ke saluran sesuai,” katanya.

Beliau berkata, melalui pendekatan itu diharapkan jurang antara pemimpin dan rakyat dapat dieratkan sekali gus mewujudkan persefahaman yang lebih jelas hala tuju kerajaan serta memenuhi tanggungjawab dalam meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat.

Katanya, tanpa maklumat yang tepat daripada akar umbi sukar untuk kerajaan melaksanakan sesuatu program pembangunan dan dikhuatiri program untuk rakyat tidak berjaya memenuhi keperluan setempat atau tidak mampu mencapai sasaran yang sepatutnya.

Comment