Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peranan JKDM amat penting dalam pembangunan negara kerana kesemua hasil yang dikutip akan disalurkan untuk menjana projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dapat meningkatkan lagi pungutan hasil tahun ini berbanding jumlah yang diperoleh tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tahun lepas JKDM Sabah berjaya memungut hasil sebanyak RM2,098,625,366.45.
Katanya, peranan JKDM amat penting dalam pembangunan negara kerana kesemua hasil yang dikutip akan disalurkan untuk menjana projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga JKDM Sabah atas kejayaan memungut hasil bagi 2022. Saya berharap agar jumlah hasil pungutan ini dapat dipertingkatkan lagi bagi tahun ini.
"Walaupun 2023 adalah tahun mencabar untuk penjawat awam terutamanya dari segi ekonomi, namun sebagai pemungut hasil utama negara, sudah pasti JKDM akan menempuh pelbagai rintangan dan cabaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Sabah di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Dalam pada itu, Hajiji turut percaya, selagi warga kastam terus bekerja dengan etika perkhidmatan jabatan iaitu Amanah, Berkhidmat, Ikhlas, Dedikasi (ABID), lebih banyak hasil dapat dikutip kerana slogan ABID juga dapat membantu meningkatkan prestasi dan keunggulan imej JKDM.
Katanya, JKDM layak digelar 'Wiran Ekonomi Negara' atas komitmen dalam meningkatkan ekonomi negara, selain memainkan peranan yang penting dalam menyediakan fasilitasi dan kemudahan dalam menggiatkan pelabur luar terutama ke Sabah.
Menurutnya, ekonomi gelap (black economy) yang wujud daripada aktiviti penyeludupan yang berleluasa daripada sumber yang menyalahi undang-undang sebuah negara perlu dihapuskan serta-merta kerana ia memberi impak yang negatif kepada negara.
Beliau berkata, pihak kastam harus sentiasa waspada dan bersiap sedia dalam usaha menghapuskan aktiviti penyeludupan dalam era dunia tanpa sempadan yang menggunakan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat terkini yang semakin canggih.
“Justeru usaha harus dilipatgandakan bagi membanteras setiap bentuk kegiatan penyeludupan di negeri ini. Saya percaya kastam mempunyai kekuatan yang cukup dari segi tenaga manusia, logistik dan sistem bagi menangani aktiviti penyeludupan di negeri ini.
"Menjadi tanggungjawab jabatan ini untuk memastikan supaya hasil negara tidak jatuh ke tangan yang tidak berhak," jelasnya.
Hajiji turut berharap warga JKDM mengamalkan integriti yang kukuh dan utuh dalam melaksanakan tugas dan menolak budaya rasuah agar tidak menjadi amalan di negara ini.
Menurutnya, tanpa Integriti yang kukuh dan utuh, sudah pasti sesebuah negara itu akan musnah.
Beliau mahu warga JKDM terus berganding bahu dan berusaha keras untuk membantu negara memacu semula pertumbuhan ekonomi ke suatu tahap yang lebih baik.