Kerajaan negeri tekad dalam memajukan Sabah
14:03 Mar 30, 2023  |  By SabahKini2
Kerajaan negeri tekad dalam memajukan Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sentiasa bekerja keras untuk kemajuan dan pembangunan negeri Sabah dan seluruh rakyatnya.

PUTATAN: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited bawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua rakyat di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sentiasa bekerja keras untuk kemajuan dan pembangunan negeri Sabah dan seluruh rakyatnya.

“Rakyat khususnya umat islam perlu mengambil peluang sepanjang bulan Ramadan untuk mengeratkan silaturrahim dengan semua masyarakat di negeri ini.

“Saya mengingatkan bahawa perpecahan dan keretakan dalam kalangan rakyat hanya akan membantutkan kemajuan serta usaha pembangunan yang dirancang oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada lebih 400 golongan kurang berkemampuan dan ibu tunggal, di Masjid Jamek, semalam.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan negeri memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan di negeri ini bagi meringankan bebanan yang mereka tanggung ketika menyambut bulan Ramadan.

“Sumbangan kerajaan negeri sempena bulan Ramadan akan disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Selain itu, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) juga turut menyampaikan sumbangan mereka kepada golongan sasar,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Ariffin Arif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Comment