BCAA perlu ditubuh segera demi mengawal kos penerbangan ke Sabah dan Sarawak
21:04 Apr 25, 2023  |  By SabahKini2
BCAA perlu ditubuh segera demi mengawal kos penerbangan ke Sabah dan Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, penubuhan BCAA boleh menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke Negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan menggesa diwujudkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo atau Borneon Civil Aviation Authority (BCAA) bagi mengawal selia dan menjaga industri penerbangan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, BCAA boleh menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke Negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.

“Dengan pengetahuan yang lebih baik tentang keadaan tempatan dan pemahaman tentang keperluan Sabah dan Sarawak, BCAA berupaya membina dorongan yang diperlukan untuk memudahkan industri penerbangan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Dalam jangka panjang, BCAA boleh memanfaatkan bukan sahaja Sabah tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan menubuhkan BCAA itu menyusul selepas wujud perbalahan berterusan mengenai tambang tinggi penerbangan ke Sabah dan Sarawak ketika Aidilfitri.

“Ini bukan sahaja menyerlahkan tambang penerbangan yang tinggi, mahal dan tidak munasabah untuk kedua-dua sektor,

“Ia juga mendedahkan masalah sistemik yang telah berpuluh tahun mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak dalam perjalanan udara, dan beban yang ditanggung oleh mereka selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia, dan merupakan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.

“Masa untuk menyediakan BCAA juga tepat sekarang kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya.

Comment