Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu air dan elektrik yang diwarisi sebelum ini.
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sedang mengambil langkah bagi menangani isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah pada ketika ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan juga mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu air dan elektrik yang diwarisi sebelum ini.
“Saya harap rakyat memahami situasi ini dan saya menyeru pihak yang mengkritik supaya tidak mempolitikkan perkara itu.
“Pagi ini, saya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya tentang langkah segera dan akan datang yang diambil SESB bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang membebankan ramai orang,” katanya hari ini.
Mengenai isu bekalan air, Hajiji telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong untuk mengambil tindakan drastik bagi memperbetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik tetapi juga bergerak ke hadapan untuk mewujudkan pelan kontingensi.
“Kami melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu kerana kami juga serius dalam usaha menarik pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini penting untuk pelabur.
“Kami telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco dan Esteel dan kami mahu melihat lebih banyak lagi. Kami serius.
“Sabah telah menyediakan pelan tindakan untuk membetulkan isu-isu ini dan dengan jaminan dan komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah, saya yakin akan ada penyelesaian,” katanya.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid. – SM