JANS kutip hasil lebih daripada sasaran RM300 juta – Shahelmey
15:05 May 25, 2023  |  By SabahKini2
JANS kutip hasil lebih daripada sasaran RM300 juta – Shahelmey

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, JANS berjaya mengutip hasil sebanyak RM108.91 juta atau 36% daripada sasaran anggaran hasil kutipan RM300 juta hingga hujung tahun ini.

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) setakat 23 Mei 2023 berjaya mengutip hasil sebanyak RM108.91 juta atau 36 peratus daripada sasaran anggaran hasil kutipan RM300 juta sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, purata Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) kini berada pada tahap 56.7 peratus.

Menurutnya, JANS menyasarkan penurunan NRW kepada 54 peratus menjelang penghujung tahun ini.

"Sejak kebelakangan ini, isu bekalan air di Sabah sering menjadi tajuk utama di media massa dan media sosial. Kementerian ini mengambil maklum berkenaan kekurangan bekalan air terawat yang amat membimbangkan.

"Situasi genting berhubung kekurangan air semasa terutama di bandar-bandar utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

"Masalah-masalah yang melibatkan operasi dan penyenggaraan aset jabatan yang kerap mengganggu bekalan air memaksa kementerian untuk menyusun semula perancangan agar langkah-langkah tindakan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan untuk menangani isu air yang semakin mendesak," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar kerajaan semalam.

Dalam pada itu katanya, bagi isu gangguan bekalan elektrik, cuaca panas yang melanda di negeri Sabah sejak awal tahun dan terus meningkat sehingga ke hari ini mengakibatkan kenaikan beban tenaga (power demand) yang semakin ketara terhadap grid.

Beliau berkata, permintaan penggunaan tenaga elektrik ketika ini mencapai tahap maksimum sebanyak 1,080 Megawatt (MW) berbanding hanya 1,032 MW pada Ogos tahun lepas.

"Beberapa stesen janakuasa yang tidak dapat beroperasi disebabkan oleh keperluan membuat selenggaraan dan kerosakan teknikal yang memerlukan masa untuk dibaik pulih.

"Ini mengakibatkan kekurangan kapasiti penjanaan yang boleh disalurkan kepada Sistem Grid Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya.

Shahelmey berkata, catuan bekalan secara terkawal dan berperingkat salah satu langkah jangka masa pendek SESB bagi memastikan kestabilan Sistem Grid SESB.

"Langkah ini bertujuan mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada Sistem Grid SESB yang akan mengambil masa yang lebih lama untuk dipulihkan sekiranya berlaku masalah.

"Dalam keadaan semasa, catuan bekalan ini dianggarkan akan berlanjutan sehingga bulan Julai 2023 sekiranya permintaan beban kekal melebihi kapasiti janaan yang tersedia," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah interim, SESB memasang sebanyak 11 unit set janakuasa mudah alih (Mobile Genset) di lokasi strategik bagi membantu kestabilan Sistem Grid SESB.

2 Comments