Dua pelajar lelaki kritikal keracunan metanol disahkan meninggal dunia
16:06 Jun 16, 2023  |  By SabahKini2
Dua pelajar lelaki kritikal keracunan metanol disahkan meninggal dunia

Beliau berkata, mayat kedua-dua pelajar itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan punca kematian telah diperoleh dan mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.

KOTA KINABALU: Dua pelajar dari sebuah sekolah menengah di Pitas yang kritikal akibat keracunan metanol disahkan meninggal dunia.

Kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan Khamis di Hospital Queen Elizabeth (QHE1) dan QHEII, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Zairolnizal Ishak berkata, kematian pelajar pertama dilaporkan pada jam 4.08 petang Rabu.

“Punca kematian ialah kegagalan fungsi pelbagai organ disebabkan keracunan metanol.

“Pelajar kedua pula dilaporkan meninggal dunia pada keesokan harinya iaitu pada jam 4 petang dan punca kematian disebabkan beberapa kecederaan pada otak akibat keracunan metanol,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua pelajar itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan punca kematian telah diperoleh dan mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Katanya, kedua-dua kes diklasifikasi semula sebagai kes kematian mengejut.

Pada 9 Jun lalu, dua pelajar Tingkatan Lima dilaporkan kritikal manakala 18 lagi rakan mereka menerima rawatan di hospital selepas minum minuman berkarbonat yang disyaki dicampur dengan spirit.

Difahamkan, pelajar berkenaan secara beramai-ramai telah meminum minuman berkenaan sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan metanol pada 6 Jun lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan bahawa 20 pelajar terbabit telah mengalami keracunan metanol.

Dua pelajar yang kritikal itu memerlukan bantuan pernafasan dan masing-masing dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE1) dan HQEII.

Comment