Pilihanraya dah semakin hampir jadi ada banyak isu yang dikitar semula. Salah satu daripadanya isu tular warga China yang memperolehi kad pengenalan Malaysia yang pernah meletup tahun pada 2019.
Seperti kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, gambar berkenaan merupakan kes tahun 2019.
"Luas sekali berlegar dalam grup (kumpulan) WhatsApp isu warga China dapat MyKad.
"Seperti biasa serangan ditala (dituju) kepada Kerajaan Madani tanpa rasa bersalah untuk menyemak maklumat.
"Asal dapat main (timbulkan) sentimen perkauman dan dapat keuntungan politik mereka puas hati," katanya dalam satu hantaran di Facebook lewat petang tadi.
Beliau berkata ketika kejadian itu, negara bukan ditadbir oleh Kerajaan Madani sebaliknya Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.
"Saya pun yakin beliau (Muhyiddin) tak terlibat dalam isu berkenaan.
"Pegawai Jabatan Pendaftaran yang terbabit pun dah ditangkap, disiasat dan kini sedang dibicarakan," katanya.
Jabatan Pendaftaran Negara turut memberi kenyataan media mengenai perkara itu.
Tangkapan Faizul, Datuk Lai Chin Wah dan Wang De Qun
Pada September 2019 Mohd. Faizul Arifin, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang bersama Datuk Lai Chin Wah dan 4 lagi didakwa di mahkamah kerana menjual MyKad kepada warga China dari RM100K hingga RM600K.
Mengikut pertuduhan Mohd Faizul didakwa telah mengeluarkan dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran Malaysia dan kad pengenalan Malaysia atas nama individu kepada warga China bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran.
Mohd Faizul Arifin dituduh di bawah seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen daftar beranak iaitu sijil kelahiran Malaysia selain lima pertuduhan dibawah peraturan 25(1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan lima kad pengenalan di atas nama warga China.
Datuk Lai Chin Wah, Yap Cheng Wah, Chien Guan Chai, dan Loh Chan Cheong dituduh di bawah seksyen 466 Kanun Keseksaan.
[ARTIKEL BERKAITAN - Faizul Pegawai JPN, Datuk Lai Chin Wah dan 4 lagi dalang ‘Cina Penang’ didakwa sindiket jual MyKad
Wang De Qun beli MyKad
Pada oktober 2019 perbicaraan kes pegawai JPN dan Datuk Lai Chin Wah saksi utama kes sindiket penjualan MyKad memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa beliau membayar hampir setengah juta bagi pembelian dokumen itu.
Wang De Qun atau dikenali sebagai Ewe Chor Beng dalam MyKad, berkata pada asalnya beliau hanya mahu memiliki pasport migrasi pelaburan bagi memudahkan urusan perniagaannya di negara ini.
De Qun yang berasal dari Shan Dong, China dan turut memiliki pasport negara Vanuatu, berkata beliau sering berulang-alik antara China dan Malaysia sejak 2017 untuk menguruskan beberapa projek membabitkan syarikat bahan binaan miliknya.
Pada 3 Oktober 2019, pihak pendakwaan memohon supaya De Qun memberi keterangan awal melalui prosiding deposisi berikutan lelaki warga China itu akan dihantar pulang ke negaranya pada 13 November 2019
Dalam keterangannya, De Qun memberitahu, beliau bersetuju untuk membayar RM400,000 bagi memiliki pasport Malaysia, yang dibayar dalam mata wang Ringgit Malaysia, Yuen China, Dollar Hong Kong dan Dolar Amerika
Semua pembayaran itu diuruskan pengurus kewangan syarikatnya, di mana RM200,000 diberikan kepada Liw Ge, dan sebahagian lagi kepada tertuduh, Datuk Lai Chin Wah.
“Liw Ge kemudiannya memperkenalkan saya kepada Chin Wah, dan saya ke Pulau Pinang untuk bertemu dengannya antara September dan Oktober tahun lalu.
“Chin Wah membawa saya ke sebuah pejabat kerajaan (dikenal pasti sebagai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang) untuk menguruskan dokumen diri saya, yang turut dibantu rakan-rakan Chin Wah,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN- Wang De Qun Ahli Perniagaan China bayar RM400,000 beli MyKad, pasport Malaysia